Kerajaan digesa menjelaskan status kewangan Felda dan semua anak syarikatnya serta Koperasi Felda (KPF) sebelum menyenaraikan agensi itu di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Ketika membuat gesaan itu, badan bukan kerajaan, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berkata, kerajaan harus mendedahkan kepada awam segala kajian dan maklumat yang menyokong rancangan untuk menyenaraikan Felda di BSKL.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata kerajaan perlu telus dalam hal ini kerana penyeneraian Felda di BSKL juga mendedahkan agensi itu kepada risiko naik turun saham yang tidak menentu.

"Ada beberapa persoalan yang perlu dijelaskan kepada awam mengenai kedudukan Felda dan KPF termasuk sejauhmana saham yang akan ditawarkan kepada peserta (peneroka) dan kakitangan Felda akan dijamin oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

"Kecurigaan kami ini adalah beralasan kerana beberapa Amanah Saham Negeri yang diselia oleh kerajaan-kerajaan negeri untuk memastikan kestabilan saham itupun telah mengalami kerugian yang teruk," tambahnya.

Ketika membentangkan bajet 2004 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selaku Menteri Kewangan mengumumkan hasrat kerajaan untuk menyenaraikan Felda di BSKL bagi meningkatkan daya saing syarikat tersebut.

Agensi itu dijangka disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) sebelum akhir tahun ini dengan 75 peratus pegangan milik kerajaan dan 25 peratus sebagai tawaran awam permulaan (IPO) yang dijangka menghasilkan RM1 bilion.

Jaminan kerajaan

Bagaimanapun, hanya sejumlah 354,554 hektar tanah ladang dan kilang milik Felda yang akan disenaraikan tanpa melibatkan sejumlah 447,246 hektar tanah yang dimiliki oleh peneroka.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, persoalannya ialah apakah jaminan kerajaan agar tanah Felda tidak berpeserta seluas kira-kira 350,000 hektar itu tidak akhirnya tergadai jika agensi itu menanggung kerugian.

"Oleh kerana Felda telah diwujudkan melalui penajaan agensi Bank Dunia, maka Teras menuntut supaya penjelasan lebih telus perlu dibentangkan oleh kerajaan mengenai sejauhmana hutang Bank Dunia telah dapat dibayar setakat ini," tegas Mohd Azmi.

Menurutnya lagi, penjelasan Menteri Kewangan 11, Datuk Dr Jamaluddin Jarjis bahawa langkah itu bertujuan untuk melebarkan manfaat Felda kepada para peneroka juga tidak memuaskan.

"Ini kerana Teras mendapati maklumat mengenai kedudukan Felda sekarang masih tidak dibentangkan lagi dengan lengkap," tambahnya.

Oleh itu, katanya, Teras berpendapat penyenaraian sesuatu agensi awam di BSKL belum menjamin bahawa manfaat penuh akan diperolehi oleh mereka yang akan membeli sahamnya.

"Sepertimana yang berlaku kepada Bernas - sebagai syarikat yang sepatutnya dikawalselia oleh kerajaan agar nilai saham tidak rugi - ternyata kini ia menghadapi masalah apabila berlaku kepincangan dalam sistem pengurusannya," tegas Mohd Azmi.