M'sia, Australia meterai perjanjian tukar pelarian, pemohon suaka
Malaysia dan Australia hari ini menandatangani perjanjian bersejarah bagi pertukaran pelarian dan pemohon suaka di antara kedua-dua negara.
Perjanjian itu, yang pertama seumpamanya ditandatangani di dunia, dengan matlamat jangka panjang untuk mengekang aktiviti sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia serta jenayah rentas sempadan.
Perjanjian itu, yang berkuatkuasa mulai tengah malam ini, adalah bagi pertukaran 4,000 pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dengan 800 orang dari Australia dalam tempoh empat tahun. Kesemua pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
Perjanjian itu ditandatangani Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mewakili Malaysia manakala Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan Australia Chris Bowen bagi pihak negaranya.
Dalam sidang akhbar bersama kemudian, Hishammuddin menyifatkan perjanjian itu satu pendekatan di luar kebiasaan bagi menangani masalah penyeludupan manusia.
"Kerajaan memberikan isyarat amat jelas kepada sindiket penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang dan sangat memandang serius perkara ini," katanya.
Meskipun tiada tarikh ditetapkan, beliau berkata pertukaran pertama berkemungkinan dilakukan tahun ini.
Bowen berkata "perjanjian berani" ini adalah satu tekad kesungguhan kedua-dua negara untuk menangani isu penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang di rantau ini dan ia akan dipantau oleh negara lain untuk melihat faedah langkah ini.
"Ini satu kemenangan untuk Malaysia, satu kemenangan bagi Australia dan kerugian bagi penyeludup manusia," katanya.
Beliau berkata program pertukaran selama empat tahun itu dianggarkan menelan belanja AUD$296 juta dan akan dibiayai kerajaan Australia.
Perjanjian itu membenarkan pihak berkuasa Malaysia menyaring para pelarian bagi memastikan mereka bukan dalam senarai pengganas dikehendaki atau pendatang asing tanpa izin sebelum dihantar ke Malaysia.
Pelarian yang tersenarai dalam perjanjian pertukaran akan mempunyai kad pengenalan khas dikeluarkan oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan Australia.
Hishammuddin berkata ketika berada di Malaysia, pelarian berkenaan akan ditempatkan di pusat persinggahan selama 45 hari sebelum ditempatkan dalam masyarakat.
Menjawab satu soalan, beliau memberi jaminan keselamatan para pelarian adalah menurut tanda aras ditetapkan UNHCR dan mereka dibenarkan mempunyai akses kemudahan kesihatan, pendidikan dan pekerjaan.
"Saya memberi jaminan, bagi pihak Kerajaan Malaysia, bahawa semua orang akan dilayan dengan penuh bermaruah," katanya.
Sehingga kini, Malaysia mempunyai kira-kira 93,000 pelarian, kebanyakannya dari Myanmar.
Dalam satu kenyataan, Hishammuddin berkata Australia memilih Malaysia dalam projek perintis ini kerana negara itu yakin dengan keupayaan Malaysia dan kesungguhannya dalam menangani kegiatan penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang.
Mengenai Konvensyen PBB mengenai Pelarian, katanya Malaysia tidak menandatangani perjanjian tersebut kerana negara tidak mampu untuk memberi akses keperluan utama seperti peluang pendidikan, pekerjaan, rumah perlindungan kepada pelarian kerana masih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan pembelaan daripada aspek ini.
"Ini membuktikan bahawa walaupun Malaysia bukan negara anggota kepada Konvensyen PBB Mengenai Pelarian, tetapi ia masih menjadi destinasi kepada sejumlah besar pelarian yang berasa selamat berada di negara ini," katanya.
Terdahulu, di luar hotel bertaraf lima bintang tempat berlangsungnya majlis menandatangani perjanjian itu, beberapa anggota yang menggelarkan diri mereka daripada kumpulan "Lawyers for Liberty" berkumpul membantah perjanjian itu.
Antara mereka termasuklah ahli parlimen Batu Tian Chua, pengarah Eksekutif Tenaganita Dr Irene Fernandez dan peguam Latheefa Koya.
Irene berkata perjanjian itu berkemungkinan menimbulkan amalan diskriminasi dalam pengurusan pelarian, di mana 800 pemohon suaka berkemungkinan mendapat layanan keutamaan.
"Bagi urusan 4,000 pelarian ini diselesaikan, kami fikir ia telah pun diproses dan pelarian ini berkemungkinan dari Burma. Perjanjian ini turut menimbulkan tekanan di kalangan masyarakat untuk mendapat peluang penempatan semula," katanya.
- Bernama

