MB Perak mahu isu sembelih lembu bunting diselesai
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir hari ini mengarahkan satu pendekatan dicari bagi menyelesaikan isu penyembelihan lembu bunting supaya satu keputusan terbaik dapat dicapai oleh pihak yang berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu perlu dilihat dengan lebih terperinci dengan mendengar penjelasan kedua-dua pihak iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, penternak dan peniaga daging supaya mereka berpuas hati dengan keputusan yang akan diambil.
"Di peringkat Jabatan Veterinar sudah wujud satu pekeliling yang menyebut tentang larangan menyembelih lembu bunting.
"Larangan ini bukan sahaja atas nama etika malah atas nama perikemanusiaan namun ada pihak penternak dan penyembelih pula mengatakan mereka tidak tahu mengenai keadaan lembu yang disembelih sama ada bunting atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Ipoh hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas bantahan penternak, pengedar dan penjual daging segar terhadap notis larangan penyembelihan lembu bunting dan masih produktif oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak bagi mengelak unsur kekejaman terhadap haiwan itu serta menjejaskan populasi serta bekalan daging segar pada masa depan.
Katanya masalah penyembelihan lembu sebelum ini tidak wujud, namun selepas Jabatan Veterinar menguatkuasakan pekeliling larangan penyembelihan lembu bunting, para peniaga daging mempunyai masalah untuk membekalkan daging di pasaran.
Zambry berkata penjelasan daripada pihak penternak dan peniaga daging juga perlu didengar terutama bekalan pada musim perayaan ini.
"Kita perlu mendengar penjelasan daripada pihak penternak kerana sebahagian besar mereka telah membeli lembu tambahan menjelang musim perayaan ini. Tambahan pula, ada antara mereka yang tidak mengetahui ada antara lembu yang dibeli itu dalam keadaan bunting," katanya.
Beliau berharap penyelesaian masalah itu turut perlu mendapatkan pandangan daripada sudut agama.
"Dalam hal ini, sensitiviti semua pihak perlu diambil kira supaya keputusan yang diambil akan mewujudkan situasi menang-menang," katanya.
- Bernama

