Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM1.12 juta bagi perbesar Masjid Al-Rahmah
Diterbitkan:  Jul 28, 2011 1:14 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.12 juta untuk pembesaran Masjid Al-Rahmah, Taman Wira Mergong di Alor Setar yang dibina sejak 20 tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dalam lawatan kerja sehari ke Kedah hari ini, hadir di masjid berkenaan untuk mendengar taklimat berhubung projek pembesaran masjid itu.

Taklimat disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Teknikal Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Ab Ghapar Daud.

Imam masjid berkenaan Mohd Shabuddin Itam berkata peruntukan itu diluluskan empat bulan lalu.

"Pembesaran masjid ini perlu dilakukan segera kerana jemaah masjid yang semakin bertambah terutamanya pada hari Jumaat, bulan Ramadan dan Hari Raya," katanya kepada pemberita di Alor Setar, hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana menyediakan peruntukan yang besar untuk membesarkan masjid itu.

Projek pembesaran masjid berkenaan dijangka dimulakan bulan depan.

Selepas melawat masjid itu, Perdana Menteri dan rombongan membuat tinjauan dan beramah mesra dengan peniaga serta orang ramai di Pasar Tani Taman Wira Mergong.

Najib diiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz  Mahathir dan Timbalan Menteri Pertanian Datuk Johari Baharom.

Najib tiba di kawasan pasar berkenaan kira-kira pukul 10.15 pagi dan meluangkan masa kira-kira 30 minit.

Perdana Menteri turut meninjau penyediaan bubur lambuk oleh peserta pasar tani yang dimasak untuk diedarkan kepada pengunjung pasar tani sempena menyambut bulan Ramadan.

Selepas beramah mesra dengan peniaga pasar tani, Perdana Menteri singgah bersarapan di Medan Selera Taman Wira dan dihidangkan teh tarik serta pelbagai jenis makanan termasuk pulut durian, pulut sambal dan serabai.

- Bernama

ADS