Radio Televisyen Malaysia (RTM) memohon maaf kerana tidak dapat menyiarkan secara langsung acara sambutan perayaan ulang tahun ke-50 Kecemerlangan Kongsi Kuasa Barisan Nasional (BN) di Stadium Merdeka Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Bahagian Sekretariat Jabatan Penyiaran Malaysia, berkata kegagalan itu berpunca daripada masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Perhimpunan itu dihadiri Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta semua pemimpin kanan 14 parti komponen BN.

"Bagaimanapun pada hari itu, Radio Satu telah menyiarkan liputan secara lintas langsung dari semasa ke semasa sepanjang majlis berlangsung.

"TV juga telah membuat liputan Perayaan Kecemerlangan Kongsi Kuasa Barisan Nasional yang disiarkan di semua siaran Berita TV1 dan TV2 pada pukul 3 petang, 4 petang, 5 petang, 6 petang dan 8 malam," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, TV1 juga telah menyiarkan ucapan penuh Perdana Menteri pada pukul 9 malam.

Amanat penting

Menurut laporan Bernama , kenyatan itu juga menyebut RTM telahpun menyiarkan secara meluas promosi perayaan ulangtahun dan latarbelakang permulaan perkongsian kuasa sejak sebelum Merdeka dan selepas Merdeka, sebelum Sabtu lagi, hari perayaan itu berlangsung.

Dalam laporan media hari ini, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Mohamed Rahmat telah membidas kegagalan RTM itu walaupun, menurutnya, telah dimaklumkan bahawa majlis di Stadium Merdeka itu, akan disiarkan secara langsung.

Beliau yang juga bekas menteri penerangan dilaporkan berkata, pihaknya telah menyediakan segala peralatan yang perlu untuk siaran langsung diadakan.

Malah, tambah beliau, ia telah dipersetujui dalam mesyuarat peringkat pusat jawatankuasa penganjur perayaan, yang turut dihadiri oleh Menteri Penerangan Tan Sri Khalil Yaakob.

Khalil ialah pengerusi jawatankuasa kecil publisiti seranta perayaan tersebut.

Semasa taklimat media sebelum perayaan itu, Mohamed mengumumkan perhimpunan itu akan disiarkan secara langsung oleh RTM bagi membolehkan rakyat mengikuti sambutan perayaan itu dan mendengar amanat Dr Mahathir.

Perhimpunan perayaan ulang tahun BN itu dianggap penting kerana Dr Mahathir akan bersara bulan depan.