Najib dibenar keluar hospital
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dibenarkan pulang selepas menjalani pembedahan lutut kirinya, yang cedera akibat bersukan, di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Najib, diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, meninggalkan pekarangan hospital kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Perdana menteri pada Isnin lepas menjalani pembedahan lutut kirinya melalui pembedahan "arthoscopic".
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dibenarkan pulang daripada Hospital Kuala Lumpur hari ini selepas menjalani pembedahan lutut kirinya yang cedera akibat bersukan.
Perdana Menteri diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor meninggalkan perkarangan hospital pada jam 12.30 tengah hari.
Najib, yang kelihatan sihat dan santai dengan kemeja lengan pendek berwarna hijau cair, sempat melambai tangan kepada beberapa jurufoto dan jurukamera yang menantinya di perkarangan Wad Diraja HKL.
Beliau menjalani pembedahan lutut kirinya melalui pembedahan "arthoscopic" pada Isnin lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata para doktor pakar yang melakukan pembedahan itu berpuas hati dengan hasil pembedahan serta perkembangan pemulihan perdana menteri yang telah mula berjalan sejak semalam.
"Perdana menteri yang pulang ke rumah tengahari tadi untuk berehat, akan terus menyambung sesi pemulihan untuk beberapa hari lagi," katanya.
Najib dijangka memulakan tugas pada minggu hadapan.
Khamis lalu semasa mengadakan lawatan kerja ke Kedah, Najib memaklumkan kepada pemberita bahawa beliau akan menjalani pembedahan itu ekoran kecederaan dialaminya semasa melakukan sepakan penalti ketika bermain futsal sempena sambutan Hari Belia pada Mei lalu.
Sebelum ini, lutut tersebut pernah tercedera semasa Najib bermain bola sepak ketika menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan dalam perlawanan terakhir bersama bekas legenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.
Najib menjadi Menteri Belia dan Sukan dari Ogos 1986 hingga Oktober 1990.
- Bernama

