Kerajaan didesak batal konsert Linkin Park
Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) membantah langkah kerajaan membenarkan kumpulan rock Linkin Park mengadakan konsert pada 15 Oktober depan.
Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) membantah langkah kerajaan membenarkan kumpulan rock Linkin Park mengadakan konsert pada 15 Oktober depan.
Sambil mendesak kerajaan supaya menarik balik kebenaran itu serta-merta, pengerusinya, Mahfuz Omar mendakwa konsert itu akan hanya menyumbang kepada pembinasaan sosial atas nama alternatif hiburan, di kalangan remaja.
"Impak berpendapat Linkin Park tidak mungkin menyumbang kepada pembinaan akhlak dan disiplin di kalangan remaja dan beliau negara ini, malah mereka akan menyuburkan budaya berseronok tanpa batasan.
"Budaya ini nanti akan melanjut kepada kelakuan dan tabiat negatif lain yang menambah parah kepada remaja dan belia di negara ini yang sudah sedia sarat dengan masalah," tambahnya.
Semalam, Bernama melaporkan kerajaan membenarkan kumpulan rock itu untuk mengadakan konsert di negara ini.
Menurut kenyataan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan kelmarin, kerajaan berpendapat ia dapat memberi satu alternatif jenis hiburan di Malaysia.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, penganjur dinasihatkan supaya memastikan pengurusan persembahan itu berjalan dengan teratur dan terkawal bagi mengelak perkara yang tidak diingini.
Hiburan tempatan
Mengulas lanjut, Mahfuz kesal dengan kebenaran tersebut memandangkan ia akan diadakan sebaik sahaja Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) berakhir pada 14 Oktober depan.
"Kebenaran ini merupakan satu langkah kontra kerajaan yang menganjurkan persidangan OIC untuk membincangkan masalah dan cabaran untuk membangunkan umat Islam tetapi selepas itu membenarkan penganjuran konsert yang pasti mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat Islam di negara ini," tambahnya.
Menurut beliau, masyarakat negara ini sewajarnya dihidangkan dengan hiburan yang lebih mencerminkan budaya tempatan yang boleh membentuk identiti remaja dan belia yang bakal memimpin generasi akan datang.
"Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Pelancongan sepatutnya mempopularkan muzik dan kebudayaan tradisi yang diwarisi oleh masyarakat negara ini sebagai tarikan pelancong sekaligus menghidupkan semula budaya tradisi," tegasnya.
Oleh itu, katanya, Impak mendesak kerajaan menarik balik kebenaran tersebut dan tidak membenarkan sebarang penganjuran konsert seumpama itu atas sebarang alasan sekalipun.
"Impak juga mendesak Wisma Putra tidak memberi visa kepada mereka memasuki negara ini. Kerajaan sewajarnya lebih berhati-hati untuk memberi kebenaran kepada mana-mana pihak luar, khususnya kumpulan muzik dari Amerika Syarikat masuk ke negara ini pada masa akan datang," tambah Mahfuz.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.