Hasil siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendapati bahawa dakwaan penyalahgunaan kuasa terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Hilmi Yahaya adalah tidak berasas.

Ketika mengesahkan perkara itu hari ini, Pengarah BPR negeri Abu Kassim Mohamed berkata, BPR telahpun selesai menjalankan siasatan menyeluruh kes itu dan menyerahkannya kepada pihak pendakwa raya baru-baru ini.

Bernama

memetik Abu Kassim sebagai berkata, bagaimanapun beliau dimaklumkan pendakwaraya mendapati tiada sebarang kes untuk mendakwa Dr Hilmi.

Beliau memberitahu pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pidato BPR di Pulau Pinang hari ini.

BPR telah memulakan siasatan berikutan dakwaan seorang aktivis sosial Lim Ai Yim Ogos lalu, yang Dr Hilmi ( gambar ) menggunakan pengaruhnya untuk meminta Jabatan Imigresen Negeri menarik balik pembatalan permit kerja seorang pengarah urusan rakyat asing di negeri ini yang didakwa terbabit dengan kes gangguan seksual.

Siasatan BPR itu termasuk mengambil keterangan daripada lima orang saksi, termasuk Dr Hilmi dan pengadu.

Hasil siasatan itu telah dirujuk kepada Ibu Pejabat BPR di Kuala Lumpur dan menurut Abu Kassim, beliau dimaklumkan mengenai keputusannya baru-baru ini.

Tipu pingat

Sementara itu, beliau juga memberitahu, BPR Pulau Pinang yakin telah menumpaskan sindiket mengutip derma kononnya untuk menaja sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini di mana para penderma dijanjikan kurniaan pingat dan darjah kebesaran negeri.

Katanya, sindiket itu terbongkar berikutan penahanan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai kerajaan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab mengutip derma bagi tujuan itu.

Katanya penderma diminta mengisi borang untuk penganugerahan pingat setelah membuat pembayaran secara tunai.

Katanya bertindak atas maklumat salah seorang penderma, sepasukan pegawai BPR menahan lelaki terbabit di Seberang Perai pada 30 Ogos lepas. Dia akan didakwa ke mahkamah mengikut Seksyen 10 Akta Pencegah Rasuah.

Lelaki itu kini yang dibebaskan dengan ikat jamin akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi.