J/K disiplin DAP beri amaran keras pada Jeff Ooi
Jawatakuasa disiplin DAP hari ini mengeluarkan amaran keras kepada ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi kerana mengkritik exco kerajaan negeri Pulau pinang, Wong Hon Wai, dalam media.
Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Kok Wai (kiri) berkata mereka
merasakan Ooi (kanan) gagal atas sifatnya sebagai pemimpin parti untuk menegakkan imej baik parti dengan mengkritik exco kerajaan Pulau Pinang itu akhir bulan lepas.
"Daripada memperlihatkan perpaduan di kalangan rakan-rakan dalam parti dan kerajaan, beliau memilih untuk bertelagah dengan rakan dalam parti," kata Tan dalam sidang akhbar di ibupejabat DAP hari ini.
Pemimpin kanan lain dalam jawatankuasa disiplin yang mendengar kes Ooi itu termasuk naib pengerusi kebangsaan M Kulasegaran, timbalan setiausaha agung yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, Tai Sin Piaw dan Lim Hock Seng.
Bulan lalu, Ooi dan Wong bertelagah selepas Wong mendakwa Ooi tidak membuat penyelidikan semasa menyerahkan senarai nama 178 orang yang memohon untuk membeli rumah kos rendah di kawasannya.
Ooi yang juga ketua staf Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, kemudian menjawab dengan menyatakan “tuduhan itu tidak berasas" dan menggesa Wong yang beliau labelkan sebagai “Napoleon kecil”, meletakkan jawatan.
Awal hari ini, Ooi memberitahu wartawan bahawa pendengaran jawatankuasa tatatertib hanyalah merupakan satu "penjelasan biasa" ekoran pertelagahannya dengan Wong.
Katanya, beliau mengemukakan satu set 24 dokumen untuk menyokong kesnya.
"Segalanya terpulang kepada jawatankuasa disiplin untuk membuat keputusan sama ada tingkah laku saya itu adalah wajar," katanya kepada pemberita selepas pendengaran selama 40 minit itu.

