Ketua Umno Pendang Othman Abdul dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang Mohd Rozai Shafian dikatakan telah 'mengugut' untuk meletak jawatan kerana tidak puashati dengan sikap Menteri Besar, Syed Razak Syed Zin berhubung isu perlantikan imam baru.

Walaupun Rozai ketika dihubungi, menafikan perkara tersebut, tetapi Adun Lunas Saifuddin Nasution Ismail mendakwa Rozai dan Othman telah membuat ugutan itu dalam sebuah majlis yang dihadiri ketua-ketua cawangan di Bahagian Pendang pada petang Sabtu lalu.

Othman, yang juga ahli Parlimen Pendang, bagiamanapun, tidak dapat dihubungi untuk mengulas dakwaan Saifuddin.

Rozai mendakwa isu ini sengaja diadakan oleh ahli PAS dan Keadilan untuk melaga-lagakan pemimpin Umno Kedah untuk kepentingan politik mereka.

Namun Saifuddin memberitahu malaysiakini , perkara tersebut tidak boleh disorok lagi kerana lebih 200 orang yang menghadiri majlis tersebut, menjadi saksi terhadap kenyataan mereka berdua.

Kata dua

Menurut Saifuddin, pergeseran di antara ketiga pemimpin Umno negeri itu berpunca daripada isu perlantikan imam baru di beberapa buah masjid di kawasan Pendang kerana antara mereka adalah penyokong kuat PAS.

"Kami sudah mendengar desas-desus tentang hal ini sejak dua minggu lalu, tetapi kenyataan terbuka mereka telah mengesahkan segala-galanya," tambah Saifuddin.

Beliau mendakwa pergeseran di antara ketiga pemimpin Umno negeri itu bermula daripada peristiwa perlantikan imam baru di beberapa buah masjid di kawasan Pendang.

"Ada orang mengadu bahawa imam-imam baru itu terdiri daripada penyokong PAS, lalu menteri besar dikatakan telah menyebut bahawa perkara itu berlaku kerana Othman terlalu sibuk dengan perniagaannya di Kuala Lumpur manakala Rozai pula tidak boleh buat kerja," katanya lagi.

"Jadi mereka tak puas hati dan di majlis minggu lepas, mereka memberi kata dua kepada menteri besar - sama ada menarik balik tuduhan itu atau mereka letak jawatan," tegas Saifuddin.

Beliau juga mendakwa Othman dan Rozai tidak pernah sehaluan dari segi politik, "tetapi mereka bersatu kerana kedua-duanya tidak puas hati dengan Syed Razak".

Parlimen Pendang

Sementara itu, Rozai pula menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pemimpin Umno di Kedah.

"Ini sengaja direka oleh Harakah (akhbar rasmi PAS). Ini tak betul ni. Mereka buat benda ni semua sebab mereka nak menang di Pendang.

"Mereka nak letak Dr Harun Din ( kiri ) di sini untuk menggantikan arwah Datuk Fadzil Nor...jadi bila kami (Umno) terlampau kuat untuk parti pembangkang, mereka saja nak laga-lagakan saya dengan pemimpin lain," tegasnya.

Mengenai isu perlantikan imam di beberapa masjid diPendang, Rozai mengakui memang ada di antara mereka yang dilantik itu adalah penyokong PAS tetapi beliau berkata, perkara itu tidak akan mengugat Umno.

"Lagi pun perlantikan mereka telah disahkan oleh Baginda Sultan. Kami tidak akan mempersoalkan keputusan baginda. Jadi PAS sengaja membangkitkan perkara ini untuk memerangkap kami seolah-olah kami mempersoalkan keputusan Sultan..tapi kami tidak akan tertipu," katanya.

Baru-baru ini, Badan Perhubungan Umno Kedah dilaporkan ' terkilan ' kerana tidak pernahdimaklumkan oleh Pemuda Umno Malaysia mengenai aktiviti yang dianjurkan oleh pergerakan itu di negeri tersebut.

Sebelum itu dilaporkan wujud krisis di antara penyokong Syed Razak dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Junid .