Banyak premis di KL tidak kibarkan Jalur Gemilang
Masih banyak premis perniagaan dan kediaman di ibu negara yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.
Sejak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang pada 14 Julai, Ahmad Fuad berkata dalam pemerhatiannya beliau mendapati mendapati hanya sebahagian tempat sahaja yang didapati telah mengibarkan Jalur Gemilang.
"Masyarakat masih mempunyai peluang dan mereka belum terlambat untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
"Janganlah kita melihat orang lain sahaja yang pasang bendera, tetapi kita juga hendaklah memasang, jadi marilah kita sama-sama mengibarkannya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Jalur Gemilang ke premis-premis perniagaan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Fuad berkata DBKL telah menempah 40,000 Jalur Gemilang di mana sebahagiannya telah diagih-agihkan di kawasan perumahan kos rendah di sekitar Kuala Lumpur dan 24,000 pula kepada penghuni kawasan perumahan awam secara percuma.
"Kami berharap mereka akan memasang dan dalam masa yang sama (jika) jumlah bendera yang kami berikan itu tidak mencukupi jadi kita minta mereka tunjukkan semangat patriotik untuk bersama-sama menambahkan bilangan bendera," katanya.
Jalur Gemilang boleh dibeli di kaunter-kaunter pembayaran DBKL dengan harga RM9 bagi Jalur Gemilang berukuran 3' x 6' dan RM15 bagi Jalur Gemilang berukuran 3' x 12'.
- Bernama

