Seorang sepupu tidak dapat melupakan detik-detik terakhir melihat anggota saudaranya tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang di Cameron Highlands  semalam.

    

Tan a/l Ban Alek, 47, ketika menceritakan kejadian itu berkata beliau bingkas berlari menyelamatkan diri selepas mendengar jeritan jiran-jirannya, namun sepupunya Allahyarham Jaafar Balad, 48, tidak berbuat demikian kerana menunggu isteri dan anak lelakinya sebelum ketiga-tiga mereka terperangkap di bawah runtuhan tanah tersebut.

    

"Saya sempat lari tapi Allahyarham Jaafar Balad masih menunggu isteri dan anak lelakinya, masa itu seorang abang suruh kami lari," katanya ketika ditemui Bernama di kawasan kejadian di Cameron Highlands hari ini.

    

Dalam kejadian itu, Jaafar Balad bersama-sama isterinya Normah Gunung, 51, meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan anaknya Mohd Iqbal A/l Jaafar, 15, yang turut terkorban dalam tragedi itu.

    

Menceritakan kejadian sedih itu, Tan berkata beliau cuba mengorek tanah untuk mencari sepupunya itu selepas runtuhan berkenaan namun dihalang oleh anggota polis yang mengarahkannya menjauhi tempat kejadian.

Kata-kata terakhir Jaafar yang mahu membina rumah yang lebih selesa di lokasi kejadian masih terngiang-ngiang di telinganya, kata beliau lagi.

Sementara itu dua pelancong dari Jerman melahirkan rasa kagum terhadap kerjasama padu dan semangat membantu yag ditunjukkan oleh pelbagai agensi ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan sehingga awal pagi tadi serta semangat itu diteruskan pagi ini walaupun operasi telah dihentikan.

    

Petra Ville, 51, berkata perkara itu disaksikan ketika beliau sedang bersiar-siar di perkampungan berkenaan yang menjadi kawasan tarikan pelancong sepertinya.

    

Rakannya Brigitte Schenk, 62, berkata: "Saya berasa amat sedih dengan kejadian ini namun kami lihat semangat tolong-menolong antara komuniti dan pasukan keselamatan amat dikagumi," katanya ketika ditemui Bernama di kawasan kejadian.

    

Tragedi yang berlaku pada 5.45 petang semalam meragut tujuh nyawa termasuk empat wanita, manakala dua lagi parah. Polis menghentikan operasi mencari dan menyelamat pada 1.50 pagi tadi selepas mangsa terakhir ditemui pada 1.20 pagi.

    

Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil yang terletak kira-kira dua kilometer dari Jalan Brinchang-Tanah Rata mempunyai 45 buah rumah yang didiami kira-kira 1,300 penghuni dan merupakan perkampungan Orang Asli paling lama wujud di Cameron Highlands.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Cameron Highlands semalam.

Beliau turut menzahirkan rasa sedih dengan tragedi yang telah meragut tujuh nyawa termasuk empat wanita, demikian menurut satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Dua lagi mangsa mengalami cedera parah dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Najib turut memuji kecekapan pasukan operasi mencari dan menyelamat yang mengambil masa lapan jam untuk mengeluarkan mangsa.

- Bernama