Badan wartawan Asia Tenggara bantah KDN
Sebuah pertubuhan wartawan antarabangsa membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri yang disifatkan sebagai mengugut Harakah dan empat lagi penerbitan.
Perikatan Akhbar Asia Tenggara (Southeast Asia Press Alliance) dalam surat rasminya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad beberapa hari lalu menyifatkan ugutan KDN itu sebagai "satu gangguan serius ke atas kebebasan akhbar dan tidak boleh diterima" di negara ini. Badan gabungan wartawan di Asia Tenggara itu melahirkan perasaan "sangat tidak senang" terhadap perkembangan terbaru itu.
"Sebagai sebuah pertubuhan wartawan Asia Tenggara yang berpegang teguh pada prinsip kebebasan bersuara di rantau ini, Seapa mendesak kerajaan [Dr Mahathir] agar menarik balik sebarang ancaman ke atas lima penerbitan tersebut dan membenarkan majalah serta tabloid itu dijual secara bebas dan terbuka," kata Pengerusinya, Kavi Chongkittavorn, melalui satu salinan surat berkenaan kepada malaysiakini .
Badan bebas yang beribu pejabat di Bangkok itu juga mendesak kerajaan Malaysia menghapuskan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang mewajibkan akhbar dan majalah mendapatkan permit setiap tahun.
"Mengenakan permit bagi bahan-bahan terbitan adalah satu pencabulan ke atas semua piawaian antarabangsa mengenai kebebasan akhbar," jelas Seapa lagi. "Langkah mengenakan permit itu membataskan peluang rakyat Malaysia menilai dengan sewajarnya isu-isu utama yang berlaku di negara ini."
Kenyataan bantahan dari badan wartawan rantau ini dihantar ekoran tindakan KDN melarang penjualan terbuka tabloid PAS, Harakah dan amaran kementerian ke atas majalah Detik, Wasilah, Tamadun dan tabloid mingguan Eksklusif dalam tempoh beberapa minggu lalu.
"Dalam keadaan semua akhbar utama di bawah kawalan langsung parti pemerintah Barisan Nasional, suara-suara alternatif yang disampaikan melalui beberapa penerbitan pro-pembangkang sangatlah penting untuk mengekalkan demokrasi," kata Chongkittavorn lagi.
Seapa juga menyatakan kebimbangannya bahawa ugutan ke atas Harakah dibuat sebagai satu tindakan balas secara langsung pihak kerajaan kerana pandangan-pandangan berbeza yang diterbitkan oleh tabloid tersebut.
Seapa merupakan badan bebas yang ditubuhkan pada 1998 di Bangkok hasil gabungan wartawan-wartawan bebas dari Indonesia, Thailand dan Filipina. Tiga buah negara ini telah mencapai kebebasan akhbar selepas perubahan politik besar-besaran berlaku ke atas pentadbiran kerajaan di negara masing-masing. Seapa adalah salah satu penaja malaysiakini .


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.