Kira-kira 200 pekerja PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) akan mengadakan piket secara aman minggu depan sebagai menyokong tindakan kesatuan pekerja Bernas yang membantah tindakan Bernas menawarkan skim pemberhentian sukarela (VSS) kepada kira-kira 3,117 pekerjanya.

Menurut kenyataannya, Kesatuan Pekerja Bernas Semenanjung Malaysia (KPPbNB), piket pertama akan diadakan pada hari Khamis depan di CP Tower di Seksyen 16/11 Jalan Damansara, Petaling Jaya.

Manakala piket kedua akan diadakan pada hari Sabtu depan bertempat di Pejabat Wilayah Utara, Jitra Kedah.

Bernas baru-baru ini mendakwa menanggung kerugian besar akibat kegiatan penyeludupan beras sehingga memaksa syarikat itu melakukan pengurangan pekerja serta menyusun semula organisasinya.

Kesatuan pekerja Bernas itu mempertikaikan kewibawaan pengurusan Bernas yang didakwanya gagal menjayakan pelan tindakan lembaga Bernas setelah ianya diswastakan.

Presidennya, Mansor Ariffin mendakwa bahawa dalam tempoh lapan tahun, pihak pengurusan tidak berkeupayaan untuk memfokuskan perniagaan Bernas.

Amanah kerajaan

Beliau mendakwa Bernas sepatutnya berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan sekiranya syarikat itu serius melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan.

Mansor mendakwa bahawa pihak pengurusan Bernas gagal mengatasi dan mencegah isu-isu seperti penyeludupan beras, pelaburan tidak profesional, tiada perancangan khusus, dan tidak profesional dalam pentadbiran.

Semua ini, katanya, menjadi pendorong serta mendatangkan kesan negatif terhadap Bernas.

Isu-isu ini seharusnya diatasi. Sebaliknya, pengurusan Bernas telahpun mengedarkan borang tawaran VSS kepada 3,117 daripada 3,310 pekerja yang ada.

Kesatuan berpendapat jika pengurusan serius dengan urusan perniagaan, sudah tentu skim VSS dapat dielakkan dan tidak perlu ada, tegas Mansor.

Oleh itu, katanya, majlis eksekutif kesatuan tersebut telah mengambil keputusan untuk mengadakan piket secara seperti yang disebut di atas.