RM260j untuk pembesaran ICQ Bkt Kayu Hitam
Pembesaran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam secara berperingkat dalam tempoh lima tahun menelan kos kira-kira RM260 juta.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Wira Mohd Johari Baharom berkata projek tersebut dijangka bermula tahun depan dapat meningkatkan sistem kawalan dan kelicinan operasi agensi-agensi penguatkuasa di sempadan.
Beliau berkata reka bentuk ICQ itu telahpun siap dan projek pembesarannya dalam proses untuk ditender.
"Projek itu bermula dengan pemindahan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ke lokasi baru," katanya apabila ditanya pemberita mengenai pembangunan semula ICQ tersebut selepas berbuka puasa bersama agensi-agensi penguatkuasa di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam malam tadi.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata proses pengambilan dan pembayaran tanah untuk melaksanakan projek itu juga hampir selesai.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membayar LKIM sebanyak RM36 juta bagi mengambil-alih kompleks lembaga itu terletak di sebelah kompleks ICQ untuk diubah suai bagi menambah lorong kenderaan komersial.
"Projek ini apabila siap kelak mampu memberi keselesaan kepada pengguna serta mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan perdagangan kedua-dua negara yang keluar-masuk mencecah hampir 200 buah sehari," katanya.
Mohd Johari berkata mesin pengimbas (scanner) juga perlu ditambah kerana satu unit yang ada sekarang hanya boleh digunakan tidak lebih 10 kali sehari.
Katanya masalah kenderaan perdagangan tersangkut agak lama menanti giliran untuk diperiksa tidak akan selesai tanpa langkah sama diambil kerajaan Thailand membangunkan semula kompleks pemeriksaan kenderaan di Danok.
"Saya berharap perkara ini dapat dirundingkan oleh kedua-dua kerajaan," katanya yang merupakan anggota Parlimen Kubang Pasu.
Mengenai majlis berbuka puasa itu, Mohd Johari berkata ia untuk mengeratkan kerjasama semua agensi penguatkuasa di sempadan yang turut dihadiri wakil pihak berkuasa Thailand.
"Setiap musim perayaan, aktiviti penyeludupan terutama mercun, bunga api dan haiwan ternakan meningkat....jadi kerjasama ini penting untuk membanteras aktiviti ini dengan lebih berkesan, katanya.
Majlis berbuka puasa di kompleks LKIM itu dihadiri kira-kira 200 orang anggota kastam, imigresen, polis, LKIM, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan agensi-agensi lain di sempadan.
--Bernama

