Kerajaan didesak supaya menjalankan siasatan terperinci melalui sumber-sumber maklumat sendiri terhadap 13 pelajar Malaysia yang ditahan di Pakisan, untuk mengelak mereka menjadi mangsa konspirasi Amerika Syarikat memerangi Islam atas nama menentang keganasan.

Ketika membuat desakan itu, pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Mahfuz Omar, kesal kerana sehingga kini, belum ada sebarang tanda bahawa kerajaan sedang berusaha membebaskan pelajar-pelajar tersebut.

"Sebaliknya, terdapat kecenderungan kerajaan untuk bersikap lepas tangan dan mengakui bahawa para pelajar yang masih muda itu terlibat dengan rangkaian Jemaah Islamiah (JI) dan al-Qaeda," katanya dalam satu kenyataan hari ini..

Menurutnya lagi, penahanan pelajar terbabit, bersama beberapa pelajar lain yang dikaitkan dengan JI, berdasarkan maklumat yang kononnya diperolehi daripada Ketua Operasi Al-Qaeda di Asia Tenggara, Riduan Isamuddin @ Hambali, telah menimbulkan beberapa persoalan yang memerlukan tindakan segera dari pihak Malaysia.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, 13 pelajar berkenaan ditahan di Karachi pada 20 September lalu berdasarkan hasil laporan siasatan terhadap Hambali.

Menurut Abdullah lagi, menerusi maklumat daripada orang hubungan Hambali ( kanan ) di Pakistan, kesemua identiti pelajar terbabit berjaya dikenal pasti sehingga membawa kepada penahanan berkenaan.

Menurut Pengawai Konsulat Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Abdul Ghaffar Iskandar, kesemua 13 pelajar terbabit adalah antara kira-kira 190 pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian Islam secara persendirian di beberapa madrasah di negara itu.

Terdapat seramai 219 pelajar Malaysia di Pakistan dan 18 orang daripadanya adalah pelajar perubatan dan tiga lagi ialah pelajar pergigian manakala selebihnya adalah pelajar madrasah dalam bidang agama.

Rekod pembohongan

Mengulas lanjut mengenainya, Mahfuz berkata: "Impak bimbang, penahanan tersebut berasaskan maklumat daripada Amerika yang kini menahan Hambali di lokasi yang tidak diketahui umum. Ini perlu dibantah keras oleh Wisma Putra untuk mengelak rakyat negara ini dijadikan mangsa oleh Amerika untuk bertindak sesuka hati atas alasan memerangani keganasan.

"Rekod pembohongan dan penipuan Amerika dalam situasi seperti ini telah terserlah dalam serangan dan penjajahan mereka ke atas Iraq yang sehingga kini tidak disokong oleh sebarang bukti," tegas Mahfuz.

Oleh itu, katanya Malaysia mesti mendesak Pakistan supaya membebaskan semua pelajar tersebut melalui apa cara sekalipun.

"Apakah wajar pelajar yang masih muda seusia 16 tahun yang sedang menuntut ilmu, dituduh terbabit dengan rangkaian JI hanya kerana sejarah bapa saudara dan kenalan mereka ada dikaitkan dengan pertubuhan tersebut.

"Apakah benar maklumat tersebut diperolehi daripada Hambali, dan apakah maklumat yang dikatakan bersumberkan Hambali boleh dipercayai?," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan Malaysia supaya menilai semula maklumat dan tuduhan yang dikenakan pelajar terbabit dan mengelak daripada menyerahkan nasib mereka ke tangan Amerika dan negara yang menyokong kempen memerangi Islam yang ditajanya.

Mahfuz juga mahu keluarga para pelajar terbabit dimaklumkan segera mengenai perkembangan terkini keadaan anak-anak mereka di sana.

"Impak juga berharap ibu bapa mereka di sini dapat bersabar dan berusaha membebaskan mereka melalui usaha yang berterusan," tegasnya.