Pemuda PAS pusat hari ini mengingatkan media massa dan pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya berhenti mempertikaikan isu tuntutan perjalanan ahli Parlimen PAS kawasan Jeli Apandi Mohamad sebanyak RM132,335 kerana ianya sah di sisi undang-undang.

Ketuanya, Salahuddin Ayub menegaskan Pemuda PAS memang menolak sebarang tindakan ahli-ahli politik yang cuba mengaut kekayaan melalui cara yang salah, termasuk kronisme, nepotisme dan rasuah

"Tetapi jika mereka memperolehi pendapatan melalui cara yang sah, termasuk membuat tuntutan kerana menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen, ia adalah sesuatu yang tidak wajar dipertikaikan,' katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noh Omar memberitahu Dewan Rakyat bahawa jumlah tuntutan perjalanan Apandi adalah yang tertinggi di kalangan ahli Parlimen, bagi tahun lalu.

Mengulas lanjut mengenainya, Salahuddin berkata: "DPP tidak menolak kebenaran dakwaan tersebut, tetapi mempersoalkan apakah tuntutan yang dibangkitkan itu satu kesalahan di sisi undang-undang atau sengaja dibangkit sebagai gimik politik yang sempit.

"DPP tidak berhasrat untuk mempertahankan mana-mana pemimpin PAS sekiranya mereka melakukan penyelewengan, bahkan ia mempersilakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasatnya," tegas beliau lagi..

Bagaimanapun, katanya, DPP menolak amalan memperbesarkan sesuatu yang sah di sisi undang-undang, sedangkan media massa dan pemimpin BN tidak pernah membangkitkan isu-isu penyelewengan, rasuah, kronisme dan salahguna kuasa yang disuarakan oleh rakyat sebelum ini.

Tuntutan menteri

"Jika tuntutan perjalanan tersebut menjadi satu isu, DPP mempersoalkan mengapakah media massa dan pemimpin BN tidak pernah membangkitkan tuntutan perjalanan para menteri setiap tahun.

"Siapakah juara perjalanan di kalangan menteri? Berapa juta yang dihabiskan oleh para menteri setiap tahun untuk tuntutan perjalanan mereka sahaja?

"Perkara ini sengaja tidak dibangkitkan oleh kerajaan kerana ia mungkin boleh menjatuhkan imej pemimpin BN, kalaupun tuntutan mereka sah di sisi undang-undang," tegas Salahuddin.

Berikutan itu, beliau menggesa kerajaan BN membuktikan ketelusannya dengan mengisytiharkan jumlah tuntutan perjalanan bagi setiap orang menteri, timbalan menteri dan setiausaha Parlimen sepanjang tahun lalu untuk menjadi perbandingan rakyat.

Beliau juga mempersoalkan ke manakah perginya peruntukan pembangunan sebanyak RM500,000 setahun yang diperuntukkan kepada setiap ahli Parlimen.

"Adalah ia telah dibelanjakan dengan telus oleh setiap ahli Parlimen BN dan siapakah yang membuat audit terhadap peruntukan tersebut.

Politik telus

"Lebih penting lagi, ke manakah perginya wang sebanyak RM500,000 bagi setiap kawasan Parlimen yang diwakili oleh pembangkang.," tegasnya lagi.

Salahuddin mendakwa kerajaan BN bersikap pilih bulu kerana tidak mengagihkan peruntukan pembangunan tersebut kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang.

"DPP mendesak media massa mendedahkan perkara ini kepada umum jika benar media massa mahu melihat politik telus di negara ini," tambahnya.

Sementara itu, DPP membantah keras keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan bekas ketua MCA cawangan Persiaran Gurny, Ong King Ee atau Jackie Chan, selama dua tahun di pusat tahanan khas Simpang Renggam di bawah Ordinan Darurat 1969

Dalam satu lagi kenyataannya, Salahuddin berkata, penahanan tanpa bicara itu mencabul hak Ong untuk mempertahankan diri dan ditahan selepas didapati bersalah.

Dakwa di mahkamah

"DPP tidak bertolak ansur terhadap sebarang tindakan kerajaan BN menahan sesiapa sahaja tanpa bicara sama ada di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat atau Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK)," tegasnya.

Berikutan itu, Salahuddin mendakwa tindakan'menyembunyikan" Jackie Chan ( kiri ) di Simpang Renggam itu bertujuan meredakan kekecohan yang berlaku dalam BN kerana dia didakwa oleh Team B dalam MCA, khususnya pemudanya, sebagai pelopor politik samseng.

"Bagi meredakan kekecohan dalam MCA menjelang pilihanraya, kerajaan BN mengambil langkah untuk 'menahan sementara' Jackie Chan selama dua tahun," tambahnya sambil menggesa supaya Jackie Chan dihadapkan di mahkamah dengan segera.

Sedangkan, katanya, jika Jackie Chan didakwa, dia mungkin menerima hukuman yang lebih berat, sesuai dengan pelbagai kesalahan jenayahnya, termasuk mengetui kumpulan samseng.