Presiden Majlis Pemerintahan Iraq (IGC) Dr Ahmed al-Chalabi tidak layak menghadiri Persidangan Pertubuhan Negara Islam (OIC) kerana beliau dilantik oleh Amerika Syarikat dan tidak diiktiraf oleh sebahagian besar rakyat negara itu, kata Dewan Pemuda PAS (DPP) pusat.

"Jika rakyat tidak mengiktiraf kedudukan beliau, maka tidak wajar Chalabi dijemput untuk mewakili Iraq dalam sidang OIC," kata ketuanya, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, katanya, DPP memandang berat permintaan Konsul Iraq di Kuala Lumpur, Sabah Latiff Ahmad yang mahukan Chalabi dijemput mewakili Iraq di persidangan tersebut.

"DPP menolak hujah Latif yang menganggap kedudukan IGC sebagai sah, semata-mata kerana mempunyai kerusi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pernah terlibat dalam mesyuarat Liga Arab dan Negara-negara Pengeluar Minyak (Opec)," tambahnya.

Sebaliknya, kata Salahuddin, penyertaan ICG dalam perhimpunan agung PBB, sidang Liga Arab dan Opec, sebenarnya ada kaitan rapat dengan pengaruh Amerika yang menguasai badan-badan tersebut.

Katanya, ICG yang dibentuk oleh Amerika, mungkin diiktiraf negara sekutunya, tetapi ia tidak bermakna Malaysia juga perlu tunduk setelah Dr Mahthir Mohamad dengan lantang mengkritik Amerika dan PBB baru-baru ini.

Sengsara

Berikutan itu, katanya, DPP mengingatkan kerajaan khususnya, Wisma Putra supaya tidak tunduk dengan desakan negara luar untuk menjemput pentadbir yang tidak diiktiraf oleh rakyatnya sendiri untuk menghadiri sidang OIC di Kuala Lumpur.

Salahuddin menyifatkan IGC sebagai agen Amerika yang ditubuhkan untuk menguatkan cengkamannya ke atas Iraq dengan menjatuhkan Presiden Saddam Hussein melalui pencerobohan yang tidak diluluskan oleh PBB.

"Semua 25 anggota IGC itu merupakan talibarut Amerika dan sanggup menggadai negara mereka demi kepentingan Amerika. Bahkan IGC yang bertanggungjawab untuk membolehkan Amerika menjajah Iraq dengan mudah," tambahnya.

Malah, katanya, IGC pimpinan Chalabi juga menjadi punca terhadap kesengsaraan yang melanda rakyat Iraq sekarang.

"IGC telah dipergunakan oleh Amerika untuk membunuh dan menghalau rakyat Iraq sehingga beribu-ribu terkorban, menjadi pelarian, kebuluran dan menghadapi masalah kesihatan," tegasnya.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, sebuah badan yang menjadi agen penjajah untuk menzalimi rakyatnya sendiri tidak wajar dijemput untuk menyertai satu persidangan yang penting bagi membincang masa depan umat Islam.