K'jaan sasar tingkat 50% capaian Eduweb dari rumah
Kementerian Pelajaran menyasarkan program EduwebTV mampu mencapai peningkatan 50 peratus capaian (internet) dari rumah menjelang hujung tahun ini menerusi pemberian komputer riba 1Malaysia kepada golongan pelajar di negara ini.
Timbalan Menteri Pelajaran Mohd Puad Zakarshi berkata program EduwebTV yang diperkenalkan kementerian itu pada 1 Mac 2008 untuk melahirkan generasi celik IT mempunyai purata 500,000 capaian sebulan dengan 33 peratus daripada capaian itu adalah dari rumah.
Beliau berkata golongan pelajar yang menerima komputer riba 1Malaysia itu digalakkan menggunakan kemudahan yang diberikan dengan melayari program EduwebTV yang telah memberi kesan dalam membantu murid untuk meneruskan pelajaran mereka dari rumah masing-masing.
"Sejajar dengan objektif kerajaan memberikan komputer riba 1Malaysia ini, golongan pelajar boleh memanfaatkannya untuk kemudahan pembelajaran dengan mengikuti program EduwebTV yang mempunyai lapan saluran dan 3,185 rancangan," katanya dalam sidang media selepas Majlis penyerahan 667 unit komputer riba 1Malaysia kepada 12 buah sekolah di Parlimen Kapar hari ini.
Puad berkata antara rancangan yang boleh diikuti menerusi EduwebTV ialah Berita Pendidikan (Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia), Rancangan Akademik, Rencana, Wawancara, kurikulum, Interaktif dan siaran langsung arkib.
Sementara itu, Muhammad Amirul Hizmi Adnan, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah yang menerima komputer riba 1Malaysia berkata pemberian itu sangat bermakna memandangkan beliau akan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi.
Beliau berkata pelbagai cara boleh dilakukan untuk memantapkan persediaan menghadapi PMR dengan adanya komputer riba itu termasuklah bertukar-tukar dan mengkaji soalan peperiksaan dengan rakan-rakan di seluruh negara secara maya.
Seorang lagi penerima, S Ranjini, 19, dari SMK Tinggi Klang turut bersetuju dengan pandangan itu serta akan menggunakan kemudahan komputer riba untuk mendapatkan maklumat semasa bagi persediaan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang akan dihadapinya tahun ini.
- Bernama

