Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Pakatan Rakyat mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan pilihan raya umum tidak akan diadakan sehinggalah jawatankuasa khas parlimen mereformasi pilihan raya selesai menjalankan tugas dan pembaharuan dilaksanakan.

"Pembaharuan ini perlu dimuktamadkan, diumumkan dan lengkap, secara keseluruhannya, sebelum pilihan raya umum ke-13 diumumkan," kata ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam sidang akhbar di ibu pejabat PAS di ibunegara hari ini.

Bagaimanapun, naib presiden PKR itu menyuarakan keraguan Pakatan berhubung langkah tersebut kerana mendakwa ia dilihat sebagai satu taktik mengalih perhatian

"Dengan rekod buruk perdana menteri dalam memenuhi janji-janjinya, seperti (janji perhimpunan BERSIH) dalam stadium, kami mengesyaki jawatankuasa khas (ini) sebagai (untuk) mengalih perhatian," kata Nurul Izzah.

Katanya, tidak akan berguna bagi semua pihak terlibat dalam usul penubuhan jawatankuasa khas itu, jika Najib mengumumkan pilihan raya umum mengejut sebelum selesai apa-apa reformasi sebenar.

Turut hadir dalam sidang media itu beberapa ahli parlimen Pakatan, antaranya naib presiden PAS Salahudin Ayub (Kubang Kerian); naib presiden DAP Tan Kok Wai (Cheras); Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat); Dr Hatta Ramli (Kuala Krai) dan Khalid Samad (Shah Alam).

[baca berita penuh]

ADS