Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata agenda membela nasib Bumiputera tetap kekal menjadi agenda utama pimpinan dan kerajaan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kaum Bumiputera tidak perlu bimbang walaupun perkataan seperti Bumiputera tidak disebut berkali-kali sebagaimana pimpinan kerajaan sebutkan semasa mengupas dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru, lapor Bernama .

Beliau berkata demikian semasa menutup konvensyen dua hari 'Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera' anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam hari ini.

Muhyiddin berkata telah tersurat dan tersirat bahawa dalam dasar pembangunan ekonomi negara, kepentingan utama ialah untuk membela kepentingan semua kaum, dan terangkum ialah kepentingan orang Melayu dan Bumiputera yang tidak harus diabaikan dan dilupakan.

"Saya sendiri tidak akan rela dan sanggup melihat bahawa selagi Melayu masih perlu dibela kita biarkan sebegitu rupa dan tidak ada satu usaha dibuat untuk membantu dan memperjuang nasib mereka," katanya lagi.