Dalam satu wawancara khas bersama malaysiakini dan Radio BBC (Indonesia) baru-baru ini presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan mengenai usaha selari parti Islam itu untuk meneruskan sistem demokrasi dan pada masa yang sama, menjalankan undang-undang Islam di negeri-negeri yang diperintahnya.

Malaysiakini: Dunia luar melihat Tuan Guru sebagai seorang pemimpin ekstrim dan akan merosakkan kemajuan yang sedia ada dan seterusnya membimbangkan mereka yang sekular.

Hadi :

Sepatutnya mereka lihat negeri yang saya pimpin iaitu Terengganu. Terengganu adalah negeri yang dimenangi oleh PAS pada 1959 dan kerajaan PAS jatuh dalam tahun 1961 melalui undi tidak percaya. Kami mengambil pendekatan pilihanraya. Kami menunggu hampir 40 tahun, kami tidak memilih jalan yang lain (kecuali) jalan yang demokratik.

Inilah yang dilalui oleh PAS sehingga tahun 1999. Kita dapat mengambilalih pemerintahan (Terengganu) dan kita membuat satu perubahan yang ketara sekali. Kita dapat menyelesaikan masalah sehingga kerajaan pusat merampas royalti petroleum yang wajar diberi oleh kerajaan pusat kepada Terengganu melalui syarikat Petronas, melalui perjanjian (yang merupakan 75 peratus hasil negeri), sehingga saya bergerak di atas 25 peratus daripada hasil negeri sahaja.

Namun demikian saya mendapat kerjasama yang erat daripada pegawai-pegawai kerajaan dan semua pihak . Jika saya adalah seorang yang keras sebagaimana yang disebut, yang radikal, sudah tentulah kita tidak mendapat sokongan yang begitu rupa dan tidak boleh mengendalikan hal pemerintahan (dalam keadaan) yang begitu tersepit dengan tekanan-tekanan kerajaan pusat. Saya tidak mahu mendabik dada dalam perkara ini. Apa yang penting adalah media massa memberi tempat pada kita yang menyampaikan maklumat yang sebenar.

Bagaimana dengan undang-undang (Hudud dan Qisas) yang dibuat di negeri Terengganu dan Kelantan yang mempunyai hukuman seperti amputasi, rejam yang dianggap kejam yang kemudiannya cuba disekat oleh pemerintah pusat?

Undang-undang ini dibuat melalui proses demokrasi kerana rakyat telah memilih kerajaan yang menwar-warkan undang-undang ini. Sebelum undang undang ini diluluskan, kita telah menyatakan undang-undang ini hanya kepada orang Islam. Orang yang bukan Islam ada pilihan, sama ada mereka mahu ataupun tidak. Sebelum (itu) kita kemukakan undang-undang kepada umum untuk perbincangan. Setelah kita mendapat maklumat balas yang setepat-tepatnya, barulah undang-undang ini diluluskan.

Sehingga hari ini, kita mendapat maklumat balas yang amat positif setelah memberi penjelasan bahawa undang-undang yang keras ini terlalu sukar untuk dilaksanakan dengan syarat-syarat yang ketat. Tetapi undang-undang ini menggerunkan penjenayah. Yang penting adalah undang-undang ini dapat membanteras jenayah, bukan untuk menjatuhkan hukuman. Kita perlu menyedari, mengikut syariat Islam, sebarang keraguan walaupun sedikit - daripada 100 peratus hujah yang dikemukan, kalau ada satu peratus yang meragukan - maka hukuman ini tidak boleh dilaksanakan.

Hendaklah dilaksanakan undang-undang yang lebih ringan iaitu hukuman yang dinamakan Takzir . Di sini kita mendapati terdapat sikap keterbukaan yang ada dalam syariat Islam. Apa yang penting adalah kesan psikologi daripada (pelaksanaan) undang -undang (ini).

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah berkata berulang kali, Malaysia adalah negara Islam. Walaupun PAS tidak mempunyai hasrat untuk menubuhkan negara Islam, apakah definasi PAS tentang negara Islam yang sebenarnya?

Kita perlu sedar bahawa ciri-ciri negara ini disebut dalam Quran dan Hadith. Setiap orang Islam mestilah merujuk amalan Islam mereka kepada Quran dan Hadith, yang merupakan sumber utama kepada ajaran Islam. Penonjolan parti dalam perkara ini adalah melalui demokrasi iaitu kita tidak memaksa masyarakat bukan Islam menerima apa yang kita perjuangkan dan mahukan.

Oleh kerana itulah, dalam merealisasikan undang-undang Islam ini, kita melaksanakan undang -undang kepada orang Islam sahaja kerana ia adalah sebahagian daripada aqidah mereka. Ada pun orang yang bukan Islam, terpulang kepada mereka. Saya yakin dan percaya, sebagaimana sejarah membuktikan, jika mereka melihat sendiri perlaksanaan undang-undang ini di Kelantan dan Terengganu, mereka juga akan memilih undang undang Islam.

Sebagai contoh, hukuman Qisas yang berkait dalam undang -undang jenayah. Dalam kes jenayah, undang-undang sivil memberi hak pengampunan kepada ahli lembaga pengampun yang dilantik oleh kerajaan.

Tapi, dalam perundangan Islam, yang boleh mengampun adalah mangsa penjenayah itu sendiri. Kalau mangsa sudah mati, maka keluarga mangsa itu ada hak mengampun. Dalam hal ini saya yakin dan percaya, bahawa orang yang bukan Islam akan menerima undang-undang ini.

Satu lagi contoh adalah undang-undang dadah di mana hukuman sivil atau takzir adalah mati mandatori. Mengikut undang-undang Islam, hukuman mati tidak mandatori. Inilah undang-undang takzir, iaitu undang-undang dera terlebih dahulu. Tetapi dalam Islam, hukuman mati hanya akan dikenakan jika tiada jalan lain. Jadi dalam hal ini, adakah mereka akan memilih undang undang Islam atau takzir? Namun demikian, yang penting adalah kita diberi peluang secara demokrasi untuk melaksanakan undang-undang ini.

Manakah peranan yang Datuk Seri anggap penting, ulamak atau ahli politik?

Kedua-duanya penting. Ini dapat dilihat dengan cara kami merealisasikan pemerintahan kami di mana rakyat yang bukan Islam sendiri boleh berjumpa secara langsung dengan kami di Kelantan dan Terengganu, tanpa ada polis yang mengawa.l, tanpa dihalang (oleh para pegawai).

Kami berlaku adil (ini adalah tuntutan Islam). Dan antara bukti-bukti yang nyata adalah apabila kita meluluskan tanah perkuburan untuk orang bukan Islam di kawasan Wakaf Tapai di Terengganu di mana mereka telah membuat permohonan sejak 20-30 tahun dan tidak berjaya sehinggalah kita mengambil alih pemerintahan.

Begitu juga tanah untuk bangunan bagi mengendalikan jenazah bagi orang bukan Islam di Kemaman di mana kita telah meluluskan permohonan mereka yang dibuat sejak berpuluh tahun juga.

Dan sekarang ini, di peringkat negeri Terengganu, pegawai hubungan kaum- orang bukan Islam yang saya lantik Ong Chai Heng - (diminta) supaya memantau orang miskin di kalangan orang bukan Islam.

Sebagai kerajaan, kita membantu orang miskin di kalangan orang Islam dan kita juga mahu membantu mereka yang miskin di kalangan bukan Islam. Dan kita telah menyediakan peruntukan sekadar kemampuan kerajaan negeri.

Bantuan ini bukan sahaja dalam masalah kebajikan yang berkait dengan rumah dan cara hidup, tetapi termasuk jugalah dalam isu pendidikan dan pelajaran.Begitu juga dalam soal tanah, di mana kita telah melulusakan permohonan tanah untuk pertanian dan perumahan tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang politik.

Adakah kerajaan negeri akan melaksanakan Enakmen Hudud dan Qisas yang sedang menjalani proses untuk diwartakan? Jika ya, mengapa Terengganu mengambil langkah yang berbeza dengan Kelantan yang sehingga sekarang masih lagi belum melaksanakannya walaupun telah lama wartakan?

Di Terengganu saya sendiri menjadi pengerusi Majlis Agama Islam Terengganu dan tidak di Kelantan. Sultan Terengganu juga telah menandatangani enakmen ini dan kita sedang dalam proses mewartakan.

Kita juga telah melantik hakim-hakim yang berpengalaman di Mahkamah Tinggi Syariah dan kita telah menghantar satu rombongan ke negara yang telah melaksankan undang-undang Islam supaya mereka boleh melihat dan mebuat kajian mengenai kejayaan dan kelemahan dalam penguatkuasaannya.

Ini adalah langkah-langkah yang telah kita ambil. Dalam masa yang sama, kita mengambil sikap yang terbuka.iaitu kita mengadakan majlis dialog di mana-mana sahaja, termasuklah dengan masyarakat bukan Islam, walaupun enakmen ini tiada kena-mengena dengan mereka.

Ada mereka yang berpendapat enakmen itu tidak sealiran dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia kerana mereka berkata kerajaan negeri tidak boleh mengenakan hukuman lebih dari RM5,000 denda, tiga tahun penjara dan enam sebatan.

Saya berpendapat terdapat percanggahan dalam perkara ini di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Islam adalah agama persekutuan. Apakah yang dimaksud dengan Islam sebagai agama di sini? Sudah tentulah ianya seperti yang dimaksudkah oleh Suruhanjaya Reid di mana Islam hanyalah agama dan bukan konsep sebenarnya. Sepatutnya pemimpin Islam negara ini mestilah mengambil definasi Islam sebagai agama dengan pengertian Islam sebenar, sebagaimana yang termaktub dalam Quran dan Hadith.

Dalam pada itu, perlembagaan juga mengatakan (penganut) agama lain bebas untuk melakukan perkara (mengikut ajaran) agama mereka. Ini meletakkan Islam lebih kecil daripada agama lain dan maka ianya tidak selaras dengan apa yang disebut Islam sebagai agama persekutuan.

Ada juga peruntukan lain yang berkata bahawa perkara yang berkait dengan agama adalah dalam (bidang) kuasa negeri. Ini bermakna kerajaan negeri berhak untuk mengadakan undang-undang yang berkait dengan agama.

Akan tetapi, jadual perlembagaan juga mengatakan, mana-mana undang-undang negeri yang bercanggah dengan (undang-undang) persekutuan, maka undang-undang negeri dibatalkan. Kemudian ia juga mengatakan kuasa jenayah negeri tidak lebih daripada undang-undang Persekutuan.

Tapi kita perlu mengetahui bahawa undang-undang negeri yang diluluskan oleh negeri adalah juga undang-undang. Selagi tidak dibatalkan oleh persekutuan, ia tetap menjadi undang-undang. Ini bermakna ia akan terus menjadi undang-undang.

Sikap kita terbuka kerana kita akan terus mengadakan perbincangan yang terbuka supaya tidak ada salahfaham, sebagai contoh mengenai hukuman sebatan rotan. Sebatan rotan dalam Islam adalah lain dengan sebatan yang dijalankan dalam undang-undang sivil.

Hukuman sebatan dalam undang-undang sivil adalah terlalu kejam, dicarinya orang yang besar, alat penyebat itu direndam di dalam air dengan bahan-bahan kimianya, kemudian disebat sehingga kulitnya terkoyak.

Tapi dalam Islam, alat penyebat adalah sederhana, orang yang menyebat tidak boleh mengangkat tangan lebih tinggi daripada kepala sehingga menampakkan ketiak, dan sebatan itu tidak boleh memecahkan kulit - seperti sebatan sekolah. Tetapi hukuman itu disaksikan oleh beberapa orang.

Apa yang penting adalah kesan psikologi kerana ia tidak mencedera dan merosakkan. Dahulu, selepas kita meluluskan undang-undang di Kelantan, Mentri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat telah mengemukakan undang-undang ini kepada (Perdana Menteri) Dr Mahathir (Mohamad) di awal tahun 1990-an.

Nik Aziz kata kerajaan negeri sedia untuk berbincang dengan kerajaan persekutuan dalam perkara ini dan PM menjawab kerajaan pusat akan menentang undang-undang yang hendak dilaksanakan dalam negeri Kelantan.

Kemudian beliau membuat kenyataan terbuka dan menuduh undang-undang ini adalah hudud PAS, sedangkan undang-undang ini bukan hudud sahaja tapi, juga Qisas dan Takzir. Ini satu kenyataan politik yang tidak betul.

Kita dapati kerajaan pusat bercelaru dalam perkara ini. Dalam masa yang sama, saya mendapat maklumat bahawa PM telah membuat kenyataan di peringkat kementerian di jabatannya bahawa kerajaan tidak mahu membenarkan undang undang Islam dilaksanakan di negara ini.

Saya juga mendapat maklumat bahawa dibincangkan di peringkat kerajaan pusat untuk menyebarkan dakyah kepada umum bahawa kerajaan pusat seolah-olah mahu juga dengan undang Islam dan dalam masa yang sama, menentang undang-undang itu. Wallahualam.

Dalam satu tinjauan baru baru ini, rakyat Malaysia yang ditemuramah meletakkan kejayaan ekonomi adalah perkara terpenting dalam menilai satu kerajaan yang baik, sementara soal agama tidak dianggap begitu penting. Dalam hal ini, bagaimanakan prestasi ekonomi kerajaan Terengganu?

Kita menganggap, yang utama adalah pembangunan manusia kerana ini asas pembangunan negara, kemudian baru pembangunan yang lain, termasuk ekonomi.Kalau manusia tidak dibangunkan, yang lain tidak boleh dibangunkan.

Kejayaan kita di Kelantan dan Terengganu adalah pembangunan manusia dan kita juga telah berjaya meninggikan taraf ekonomi negeri, terutama di kalangan rakyat. Dahulu, Terengganu terletak di tangga yang kedua termiskin di Malaysia, tetapi sebaik sahaja kita mengambil alih pemerintahan, kita berjaya mengangkat ke tangga yang ketiga.

Ini semua perubahan yang kita buat hasil daripada pembangunan manusia yang kita buat sama ada di kalangan legislatif atau eksekutif. Kita yakin, dengan pembagunan manusia ini, yang lain akan ikut membangun.


Ini merupakan bahagian pertama daripada dua bahagian. Bahagian kedua adalah mengenai politik Umno dan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dari kacamata PAS.