Dalam satu wawancara bersama malaysiakini dan Radio BBC (Indonesia) baru-baru ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sepanjang pemerintahannya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengikis ciri-ciri demokrasi di Malaysia.

Malaysiakini: Setakat ini bagaimanakah prestasi PAS dan parti-parti pembangkang di Malaysia?

Hadi

: Kita berada dalam keadaan yang mengembirakan di mana kita mendapat sokongan di kalangan umat Islam dengan berlakunya kesedaran Islam di dalam masyarakat, khusunya di kalangan intelektual dan begitu juga di kalangan rakyat yang membaca dan boleh mengikuti perkembangan media. Mereka yang menyokong kita adalah dari kalangan mereka yang mendapat maklumat tepat.

PAS sudah lama berada di Malaysia, mengapa sekarang baru mendapat sokongan dari rakyat Malaysia?

Perlu disedari bahawa demokrasi di Malaysia agak terhad dan aspek yang tertentu dalam memanfaatkan media massa. Pihak Barisan Nasional (BN) mengawal media massa dengan begitu teruk Kita tidak mempunyai peluang langsung untuk mendapat tempat di media elektronik dan cetak di mana kebanyakan media arus perdana dimiliki oleh BN.

Kita hannya mempunyai satu akhbar, Harakah, yang pada asalnya mempunyai permit untuk terbitan dua kali seminggu tetapi, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengecilkan kebenaran ini kepada dua kali sebulan, setelah ia mendapat sambutan. Begitu juga rapat umum, (di mana) seringkali kita dihalang oleh pihak polis.

Ini adalah masalah besar bagi kita. Kita yakin dan percaya jika media diberi peluang untuk menyiarkan berita yang sebenar mengenai kita, PAS sudah lama dapat mengambil alih pemerintahan. Sebab itulah juga, perubahan yang berlaku di negara-negara lain, seperti Indonesia, Filipina dan Thai - yang mengamalkan demokrasi - tidak berlaku di Malaysia.

Perkembangan yang telah berlaku di masa mutaakhir ini adalah setelah berlakunya perkembangan intelek dan perubahan teknologi maklumat (IT) di mana IT boleh dimanfaatkan oleh yang terpelajar.

Masyarakat Malaysia seperti kurang peduli terhadap politik pembangkang dan konsep "good governance". Adakah ini mungkin kerana mereka sudah lena - kehidupan cukup, pendidikan tinggi dan sebagainya.

Kita melihat mereka yang menyokong kita adalah kebanyakannya yang mempunyai kedudukan ekonomi yang baik. Kongkongan media oleh BN hanya dapat menuju kepada masyarakat miskin atau kurang terpelajar - seperti pekerja kilang, buruh kasar dan masyarakat petani- di mana mereka hanya mendapat maklumat langsung daripada televisyen dan akhbar harian.

Dahulu PAS bekerjasama bersama DAP tetapi sekarang, tidak lagi. Apakah ini adalah kerana sebahagian masyarakat Malaysia masih takut dengan hala tujuan PAS yang dikatakan ekstrim?

Kita menganggap DAP keluar dari pakatan Barisan Alternatif (BA) adalah kerana masalah dalaman. DAP telah mengadakan satu mesyuarat untuk membuat keputusan (untuk) keluar dari BA. Kita mendapat tahu bahawa mereka yang menentang, berkecuali dan tidak hadir, lebih mahukan kerjasama dengan BA diteruskan.

Tentang rakyat bukan Islam, PAS telah berjaya dengan mengadakan hubungan dengan mereka dan seterusnya mendapat sokongan mereka dengan kerjasama dengan rakan kami, parti Keadilan di BA. Melalui BA, PAS telah mendapati kejayaan di kawasan majoritinya bukan Islam, sedangkan ini tidak pernah dapat dicapai oleh kita sebelum ini.

Sebahagian masyarakat Malaysia takut kepada PAS yang dituduh oleh Umno sebagai ekstrim sehingga ada yang bimbang untuk memilih PAS atau Umno.

Ini adalah permainan media yang dikuasai oleh BN. Jika mereka melihat negeri-negeri yang dikuasai oleh PAS iaitu di Kelantan dan Terengganu, kita telah buktikan kebaikan dan keadilan kerajaan kita sepertimana kita telah mengatasi masalah kemiskinan, menyelesaikan masalah rakyat dan, dalam menghapuskan rasuah dan kronisma.

Bahkan pelancong bukan Islam dari luar Terengganu dan Kelantan, yang berkunjung ke sana telah mengubah persepsi negatif (mereka) tentang kita. Oleh kerana kejayaan inilah, kami percaya BN terpaksa menggunakan MCA untuk menguasai dua akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press yang sering memberi maklumat yang benar mengenai PAS, Tapi setelah MCA mengambil alih kedua akhbar bahasa Cina ini, tiada lagi berita tentang kami.

Adakah kesulitan yang dihadapi oleh parti pembangkang sekarang disebabkan parti Umno terlampau kuat?

Kita tidak menganggap Umno sebagai parti yang kuat. Ini kerana mereka terpaksa melakukan pelbagai salahguna kuasa untuk menghadapi pilihanraya. Kalau berdepan atas nama parti sahaja (tanpa melakukan salahguna kuasa), mereka akan gagal.

Ini terbukti di kawasan-kawasan di mana kita kuasai (yang mana mereka tidak ada peluang untuk melakukan salahguna kuasa) kita dapat kalahkan Umno dengan mudah seperti di Kelantan dan Terengganu, dan juga sebahagian dari Kedah. Inilah yang tempat penggantungan kekuatan Umno iaitu dengan menyalahguna kuasa. Mereka juga sedang mengalami perpecahan dalaman yang begitu ketara.

Adakah dengan mengenakan pelbagai undang-undang yang menekan mahasiswa juga salah satu sebab mengapa Umno memerintah begitu lama?

Ya itu benar. Undang-undang seperti Akta Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) telah menghalang kita daripada mendedahkan penyelewengan kerajaan. Begitu juga Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membelenggu para akademik dan pelajar dengan tidak membenarkan mereka melakukan kegiatan yang termaktub dalam AUKU.

Bahkan pilihanraya kampus pada awalnya memihak kepada pembangkang, tapi kerajaan telah campurtangan secara langsung untuk membendung kegiatan mahasiswa. Ini satu hal yang tidak boleh dinafikan.

Umno bukanlah satu parti yang kuat. Perlu disedari bahawa dari segi pekerja pilihanraya, dari segi penyokong di semua kawasan pilihanraya, kita lebih besar daripada Umno dan BN. Apa yang menjadi penggantungan mereka adalah pengundi atas pagar - pengundi yang tidak mempunyai pendidikan tinggi.

Inilah yang dibanci oleh mereka dan mereka inilah yang boleh dibeli dengan wang. Mereka inilah yang menjadi undi penentu bagi kejayaan mereka. Kemudian kita perlu sedar bahawa mereka juga terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu kerana dari segi undi Islam kita telah menang. Jadi Umno menggunakan politik ugut - melalui media, kegunaan pelbagai jentera kerajaan supaya mereka tidak menyokong PAS. Sebab itulah mereka menang di kawasan dimana undi penentunya adalah bukan Melayu sepertu Perak, Selangor dan Johor.

Adakah faktor Anwar Ibrahim pada 1998 dan perang terhadap terrorism telah memberi galakan bagi rakyat untuk cenderung pada PAS?

Tidak dapat dinafikan kedua-dua faktor ini adalah isu yang memberi kesan kepada politik Malaysia. Oleh kerana itu kita terpaksa menanganinya dengan sebijak-bijaknya. Seperti isu Anwar, BN cuba menutupnya dari orang ramai pada hal dia adalah satu kezaliman yang ketara, yang jelas berlaku campurtangan politik dalam badan kehakiman seumpamanya.

BN menggunakan media masa untuk menutup sebarang berita tentang Anwar. Dalam hal ini kita telah membela Anwar dan kita terpaksa memberitahu masyarakat umum. Tentang isu terrorisme, ianya digunakan oleh BN untuk menangani undi bukan Islam. Dalam hal ini kita teah mengambil langkah-langkah yang sangat menarik dengan mengadakan program yang mendapat sokongan baik dari mereka bukan Islam. Apa yang menjadi masalah ialah kerajaan sering menggunakan pihak polis untuk menghalang program kami.

Apa yang boleh dilakukan oleh parti pembangkang untuk mengatasi undang-undang yang menghalang pembangkang bergerak. Berbanding dengan negara jiran seperti Indonesia, langkah-langkahnya agak terlalu lembut.

Banyak penyokong kita adalah dari kalangan pegawai kerajaan, termasuk di kalangan tentera dan polis. Oleh kerana itu, kita mengelak dari pertembungan secara keras dan dengan kekasaran. Apa yang kami lakukan ialah meneruskan program kami dan jika polis datang menghalang, ini akan memberi kesan kepada masyarakat sekeliling (tentang kekejaman BN).

Kita juga banyak mengaturkan program secara kecil-kecilan iaitu ceramah berkelompok, perjumpaan secara tertentu. Ini dapat dilaksanakan terus menerus.

Adakah Datuk Seri menganggap Dr Mahathir merupakan pemimpin yang kuat dan berpengaruh seperti yang diagungkan oleh sesetengah rakyat Malaysia?

Saya lihat dia berjaya dalam mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa, di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, NAM, OIC dengan ucapan-ucapannya yang tegas. Tapi itulah sahaja kejayaannnya. Di peringkat nasional, terlalu banyak kegagalan dan masalah yang dialami.

Beliau gagal menangani masalah rasuah - ini ternyata kerana ada di kalangan pemimpin (yang melakukan rasuah) yang terlepas dari tindakan undang-undang. Begitu juga beliau gagal mengatasi masalah kronisme kerana walaupun dikatakan pencapaian kaum Bumiputra meningkat dalam bidang ekonomi, tetapi mereka yang menikmati kekayaan itu adalah di kalangan tertentu, iaitu mereka yang mengelilingi pemimpin.

Jika kita lihat dengan sebenarnya, pencapaian kejayaan kaum Bumiputera tidak sampai ke tahah yang hendak diperjuangkan. Dr Mahathir juga gagal menangani masalah jenayah di mana keruntuhan moral adalah nyata. Dia gagal dalam menyuburkan demokrasi di mana kita lihat makin dihakis. Di zaman beliaulah banyaknya pindaan-pindaan perlembagaan diluluskan, undang-undang yang begitu ketat dan terus menghalang penyuburan demokrasi.

Tapi barangkali harus diakui juga Dr Mahathir berhasil membawa Malaysia ke dalam sesuatu pembangunan ekonomi moden dan rata.

Kita perlu menyedari yang maju dalam bidang pelajaran adalah di negeri Kelantan, Terengganu di mana golongan mahasiswa yang paling ramai ada di sana. Ini yang berlaku iaitu kesedaran dalam masyarakat yang kita bangkitkan. Kita perlu menyedari bahawa di sana terdapat beberapa perkembangan yang tidak menyenangkan kita dalam peranan beliau dalam masalah tidak mendaulatkan bahasa Melayu.

Kita tidak menafikan bahawa penggunaan bahasa asing adalah perlu untuk kita meningkatkan ilmu sains dan teknologi. Tetapi di zaman pemerintahan beliau, kedaulatan bahasa telah terhakis

Kita melihat satu lagi pekembangan pengswastaan yang dilakukan oleh Dr Mahathir. Sebagai contohnya hospital. Kalau di zaman sebelum Mahathir, hospital percuma bagi orang miskin tapi sekarang semua berbayar.

Memang dari segi kewangannya banyak, tetapi dari segi nisbah dengan kadar kemiskinan ini perlu dilihat. Bila disebut mengenai perkapita berdasarkan kepada kewangan negara yang banyak kemudian dinisbahkan kepada berapa jumlah penduduk, dengan kita tidak menilai berapa pendapatan penduduk di kawasan pendalaman.

Ini hal yang perlu kita sedari. Beliau gagal menangani masalah setinggan di bandar dan di kampung. Beliau gagal dalam menangani masalah petani untuk memiliki tanah di seluruh negeri. Ini masalah yang begitu ketara yang dihadapi oleh rakyat . Apa yang menjadi masalah ialah kegagalan ini telah ditutup oleh media massa.

Dr Mahathir sudah mengatakan akan pencen di akhir bulan ini, apakah visi dan harapan PAS terhadap Malaysia di masa depan?

Harapan kami ialah berlakunya perubahan yang positif, terutamanya dari segi demokrasi. Kita perlu sedari bahawa apabila kerajaan sudah lama memerintah, banyak hal negatif - di sinilah manfaat dan faedahnya demokrasi iaitu rakyat diberi peluang untuk menukar kerajaan dengan mudah sebagaimana yang berlaku di negara demokrasi yang lain. Tetapi keizinan ini tidak wujud di Malaysia melalui demokrasi yang ada pada hari ini. Kita mahu supaya satu perubahan terhadap demokrasi yang lebih subur yang dapat dilaksanakan

Demokrasi yang bagaimana itu di bayangan Datuk Seri?

Bayangan saya ialah supaya rakyat mendapat maklumat yang tepat dari setiap perkembangan yang berlaku. Sebagai contoh, persidangan Parlimen Malaysia tidak menyiarkannya sesi Parlimen secara langsung dan rakyat tidak tahu apa perbahasan di Parlimen.

Negara demokrasi mempunyai media massa yang melaporkan kedua belah pihak dan bukan seperti sekarang di mana laporan hanya mengenai BN sahaja. Tanpa maklumat tepat, rakyat tidak dapat berfikir untuk membuat perubahan.

Datuk Seri, tentang wawancara yang diberi oleh naib presiden PAS Datuk Mustafa Ali oleh BBC baru baru ini - walaupun, PAS telah mengatakan tiada percanggahan di antara kenyataan Mustafa dan PAS tentang negara Islam, namun masih ada yang berkeras.

Suka saya menjelaskan bahawa Datuk Mustafa memberi jawapan yang sejajar dengan apa yang dikemukakan oleh wartawan BBC iaitu untuk menuduh PAS sebagai sebuah parti yang imej yang ganas, yang mempunyai hubungan dengan terrorist. Saya faham itulah yang tersirat bukan yang tersurat: sebuah parti yang tidak menghormati pandangan dan demokrasi.

Oleh itu, beliau memberi pandangan yang begitu rupa di mana Islam adalah satu agama yang tidak memaksa sesiapa. Dengan cara yang menyeluruh, bila disebut Islam, kita hendaklah memahaminya dalam bahasa Ad-Din - bahasa Quran , bukan melalui perkataaan Inggeris "religion".

Perkataan religion , adalah agama yang terkongkong dalam aspek spiritual, kerohanian, akhlak . Tapi Ad- Din berkait dengan aspek manusia sejagat, bukan sahaja peringkat nasional malah international dan di angkasa lepas.

Ini semua ada dalam ajaran Islam, yang ada dalam Quran. Inilah yang dimaksudkan. Adapun secara khusus tentang negara Islam, dalam aspek negara Islam, kita tidak memaksa orang bukan Islam yang bebas menganut agama mereka dan boleh memilih undang-undang mereka sendiri.

Dalam Muktamar PAS baru-baru ini, salah satu yang ramai pemerhati parti menyifatkan sebagai positif adalah pemilihan pemimpin Muslimat yang terkenal dengan sikap progresif mereka seperti Ustazah Kalsom dan Dr Lo Lo. Apakah pendapat ustaz tentang pemilihan mereka?

Yang pertama, PAS masih berpegang kepada pemimpin yang berlatarbelakang agama. Yang keduanya, PAS adalah parti yang mengikut perkembangan dan perubahan di mana kita lihat perubahan pimpinan berubah dengan cara sistematik melalui muktamar dan walaupun ada perkara yang bercanggah didalam muktamar, satu perkara yang menarik dan mengembirakan kita perkara ini tidak berpanjangan selepas Muktamar.

Tidak sebagaimana yang berlaku dalam parti parti yang lain. Kalau kita lihat Umno sendiri banyak antara mereka yang bertempur, melemparkan kerusi antara satu sama lain. (Di) Umno Marang sampai menggunakan pistol, tembak (manakala) dalam MCA dan MIC bergaduh.

PAS ada menyatakan komitmen mereka untuk meletakkan calon Muslimat didalam pilihanraya akan datang. Adakah parti mempunyai apa-apa rancangan untuk meletakkan calon Muslimat di tempat yang selamat seperti di Kelantan dan Terengganu?

Memang kita ada merancang untuk meletakkan calon wanita di tempat yang selamat. Tapi mestilah calon itu mendapat sokongan dari cawangan parti di semua peringkat. Oleh itu, kita mesti mengambilkira kawasan selamat, calon ini diterima oleh cawangan. Ini bukan kali pertama, kita telah meletakkan calon wanita. Pada 1959 Khadijah Sidek telah memenangi kerusi di Terengganu. Dia bukan orang Terengganu tapi orang Johor.

PAS telah lama bersikap terbuka di mana kami menerima orang luar dari parti seperti Datuk Onn Jaafar dari Parti Negara yang bertanding kerusi parlimen di Kuala Terengganu. Umno kini menyanjung tinggi Datuk Onn tetapi tidak memberi tempat kepadanya. Bahkan, PAS memberikan pentas kepada Dr Mahathir di masa beliau dipecat oleh Tengku Abdul Rahman dari Umno dalam tahun 1960an.

Yang menemankan Dr Mahathir adalah orang PAS kerana di depan rumahnya pada waktu itu ada SB, orang takut nak pergi, orang PASlah yang menemaninya berkempen. Ini menunjukkan keterbukaan kita termasuklah dalam calon wanita. Sehinggalah tahun 60-an, Pemuda Umno menggunakan pasukan tahan lasak dalam pilihanraya.

Ini berlaku pada tahun 1969. Mungkin rakyat telah lupa pada (peristiwa) 13 Mei. Sebelum itu Umno menggerakkan pemuda tahan lasak dan perkara itu berlaku seterusnya dan kita melihat tidak wajar turun dalam keadaan yang begini bahaya. Oleh kerana itu, kita tidak meletakkan calon wanita. Namun demikian kita melantik wanita menjadi ahli Dewan Negara di negeri yang kita menang.

Apakah langkah-langkah yang PAS telah atau sedang lakukan untuk menarik sokongan kaum bukan Islam dalam pilihanraya akan datang?

Yang pertama kita kena pastikan kita boleh mengalahkan Umno yang merupakan di kalangan Islam sendiri yang memintas dan menganggu perjalanan kita. Kita yakin dan percaya, sekiranya kita dapat kerusi majoriti di kalangan orang Islam, maka dalam masa yang sama, kita boleh menarik di kalangan mereka yang bukan Islam supaya berkerjasama dengan kita untuk membentuk kerajaan campuran bersama dengan kita. Kami yakin ada kalangan mereka yang liberal yang boleh mengadakan persefahaman dalam menubuhkan kerajaan.

Bagaimanakah PAS akan mengatasi serangan dari pihak media tempatan atau arus perdana?

Yang pertama kita mengambil manfaat daripada teknologi maklumat yang dibuka oleh kerajaan melalui Internet dan media elektronik kerana ianya tidak boleh dikawal oleh kerajaan, Apa yang menjadi masalah, mereka yang mendapat maklumat melaluinya juga terhad. Hanya di kalangan terpelajar, tempa -tempat yang ada kemudahan seperti elektrik.

Kita juga menyebarkan maklumat melalui CD dan VCD kerana kita sedar bahawa pengundi penentu iaitu mereka yang atas pagar, pekerja kilang , petani miskin, bukanlan golongan yang membaca atau tidak minat membaca. Mereka lebih mendapat maklumat melalui menonton TV.

Yang membimbangkan kita ialah, akan diluluskan lagi undang-undang yang akan mengawal penyampaian maklumat sebegini untuk menjamin penguasaan mereka dalam kerajaan.

Untuk mendapat sokongan kaum Melayu PAS perlu komited dalam agenda mereka untuk membina satu negara yang bercirikan pemerintahan Islam tapi komitmen ini sebaliknya memberi kesan negatif kepada yang bukan Islam. Bagaimana PAS boleh mengatasi komplikasi ini?

Kita mengambil pendekatan bahawa undang-undang Islam dikenakan kepada orang Islam sahaja. Orang yang bukan Islam boleh memilih undang-undang dan hukum yang mereka mahu. Pendekatan ini merupakan satu pendekatan yang terbuka dan kita yakin amalan praktikal yang dilakukan oleh PAS Terengganu akan mendapat respon yang baik dan positif daripada mereka yang bukan Islam.

Apa yang penting, maklumat tentang apa yang berlaku di Kelantan dan Terengganu sampai kepada masyarakat bukan Islam di negeri-negeri lain. Inilah yang menjadi masalah kepada kita kerana kita dapat memanfaatkan media massa yang ada di negara kita.

Sewaktu PAS di bawah pimpinan arwah Ustaz Fadzil Noor, PAS telah menyahut cabaran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam menyediakan satu pelan tindakan atau blueprint tentang negara Islam. Apakan perkembangan terakhir tentang perkara itu

?

Blueprint itu telah siap, satu tentang prinsip negara Islam dan satu lagi mengenai perlaksanaan negara Islam dalam masyarakat majmuk yang demokratik. .Tetapi apabila Dr Mahathir mempunyai programnya tersendiri mengenai agama Islam dan mengatakan apa yang dia buat sudah mencukupi, maka kita anggap blueprint ini tidak lagi relevan untuk Dr Mahathir, dan sudah tentu dia tidak menerima kerana beliau tidak ikhlas didalam mengemukan perkara ini.

Juga beliau sudahpun mahu meletakkan jawatan dalam beberapa minggu. Oleh itu kita mengganggap tidak perlu lagi untuk rujuk perkara ini kepadanya. Yang penting ialah kertas ini kita akan kemukakan dalam manifesto pilihanraya yang akan datang.


Bhgn 1: Soal-jawab: Beri PAS peluang, kata Hadi