BERITA Malaysiakini

Pejuang bahasa Hassan Ahmad meninggal dunia

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Pengerusi Yayasan Karyawan dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad meninggal dunia pada jam 2 petang ini di kediamannya di Petaling Jaya.

gmp protest 310108 dr hassan ahmad Anak keduanya, Hasmirawati, 33, berkata bapanya meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital berhampiran selepas mengadu sakit perut sejak awal pagi tadi.  

Hassan, 74, meninggalkan seorang balu Datin Hamimi Mohamad Shariff, 68, dan dua anak perempuan.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara, dekat Kuala Lumpur, pagi esok sebelum Zohor.

Hassan  meninggal dunia hari ini adalah tokoh berpengalaman luas dalam pelbagai aspek penerbitan buku, penyelidikan, pengurusan, serta perancangan bahasa dan sastera.

Ini bermakna negara hari ini kehilangan seorang tokoh bahasa yang disegani dalam membina dan mengembangkan bahasa dan sastera selepas dilantik sebagai ketua pentadbir institusi itu.

Berkat kesungguhan dan kegigihannya, serta pengalaman luas dalam lapangan penyelidikan, Allahyarham muncul sebagai pentadbir yang cukup berkemampuan dalam pengembangan dan perancangan bahasa serta sastera.

Naik setakuk

Allahyarham Hassan, yang meninggal dunia selepas mengadu sakit perut pada pukul 2 petang ini di kediamannya di Petaling Jaya, meninggalkan balu Datin Hamimi Mohamad Shariff, 68, serta dua anak perempuan Aida dan Hasmirawati.

gmp ppsmi pc dr hassan ahmad 060309 03 Hassan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pontian, Johor pada 1962, namun meninggalkan bidang itu dan menyertai DBP sebagai Pegawai Penyelidik pada 1963.

Sepanjang 13 tahun di DBP, beliau naik setakuk demi setakuk iaitu dari pengawai penyelidik kepada ketua bahagian penyelidikan, pemangku pengarah, pengarah dan akhirnya ketua pengarah.

Sepanjang tempoh itu, Allahyarham  berjaya memperkemas dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang moden dan saintifik serta berupaya menerbitkan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu. 

Bidang terjemahan

Beliau bukan sahaja menumpukan terhadap lapangan perancangan bahasa dan sastera, penerbitan dan kemajuan serta pengurusan dan pemasaran buku, malah juga dalam bidang terjemahan.

Anak sulung daripada lapan beradik yang dilahirkan dalam keluarga bekas pegawai polis itu menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Mersing (1942-1943) dan Sekolah Melayu Muar (1945-1948).

Selepas itu, anak kelahiran Muar, Johor tersebut melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Muar sehingga lulus peperiksaan Sijil Persekolahan pada 1955.

   

dr hassan ahmad and gmp 100 thousand protest anti english language 080109 Beliau kemudian diterima belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan lulus Sijil Tinggi Pelajaran (1957) sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1959.

Selepas menamatkan pengajiannya di universiti, beliau menjadi Penolong Pegawai Daerah Pontian pada 1962.

- Bernama