Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sepatutnya sudahpun melepaskan jawatan sebagai perdana menteri pada 22 Jun tahun lalu sekiranya dibenar menghabiskan ucapannya di Perhimpunan Agung Umno ketika itu.

Dr Mahathir yang juga menteri kewangan berkata, beliau telahpun bersedia untuk berundur pada hari berkenaan.

Beliau menegaskan demikian dalam satu temubual eksklusif dengan Bernama di Putrajaya -- yang menurut agensi berita nasional itu merupakan temubual terakhir beliau dengan media sebelum melepaskan jawatan perdana menteri dan presiden Umno pada 31 Okt ini.

Dalam temubual itu, Dr Mahathir mengimbas kembali kandungan ucapannya dalam muka surat terakhir yang tidak sempat dibaca kerana ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, yang tidak dapat menahan perasaan, telah mengerumuninya, dan disebabkan beliau sendiri juga tidak dapat menahan perasaan, tidak membaca bahagian terakhir ucapannya yang bertulis tangan itu.

Ketika ditanya sama ada perletakan jawatannya itu masih akan berkuatkuasa penghujung bulan ini jika beliau berpeluang menghabiskan ucapannya itu, beliau berkata: "Tidak, tidak, tidak. Jika saya dibenarkan, itulah tugas rasmi terakhir saya pada hari itu juga.

Dr Mahathir berkata, beliau menimbang semula untuk meneruskan (khidmat) kerana terdapat rayuan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu beliau kekal (memegang jawatannya).

Cadangan bersara

Katanya, jika Abdullah berkata beliau sudah sedia mengambil alih dan sebagainya, "sudah tentu saya akan berundur".

"Ya, kalaulah saya dibenar meneruskannya, saya sudah bersedia untuk berundur pada hari itu juga," katanya.

Sekiranya jika diberi peluang menghabiskan ucapannya, Dr Mahathir berkata, beliau ingin menjelaskan untuk melepaskan semua peranan dalam parti dan kerajaan.

Katanya, beliau juga mahu menjelaskan bahawa tindakannya untuk terus berkhidmat sehingga tempoh itu adalah kerana beliau mahu meletakkan parti dan ekonomi dalam keadaan baik.

Sambil menegaskan bahawa pada asalnya beliau bercadang untuk bersara pada 1998, Dr Mahathir berkata krisis ekonomi dan masalah yang beliau hadapi dengan timbalannya ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghalang beliau daripada berbuat demikian.

Tidak kesempatan

"Itu yang hendak saya katakan, tidak ada yang sensasi," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir bersetuju untuk terus berkhidmat hingga selepas berlangsungnya Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Sidang Kemuncak OIC kerana rakyat, termasuk Abdullah, mahukan beliau berbuat demikian.

Sewaktu ucapan penggulungannya di perhimpunan itu pada pada 22 Jun itu, Dr Mahathir sebak sebaik sahaja mengumumkan hasratnya untuk berundur, sebelum ahli-ahli MT Umno menyerbu di atas pentas dan menyatakan bahawa beliau tidak boleh berundur.

Dr Mahathir yang tidak berkesempatan menghabiskan ucapannya, dibawa ke bilik menunggu manakala Abdullah pula membentangkan usul tergempar bagi menggesa para perwakilan supaya menolak keputusan Dr Mahathir untuk berundur. Usul itu diluluskan sebulat suara oleh perwakilan.

Pada hari berikutnya, Abdullah mengetuai satu rombongan terdiri anggota kanan MT Umno menemui Dr Mahathir dan merayu supaya beliau terus berkhidmat. Pada pertemuan itulah Dr Mahathir menyatakan keputusan beliau untuk berundur hanya selepas Sidang Kemuncak OIC.

Ditanya kenapa beliau memilih perhimpunan agung Umno untuk mengumumkan persaraannya, Dr Mahathir berkata beliau telah cuba menyatakan kepada rakan-rakan kanannya secara peribadi mengenai hasratnya itu tetapi setiap kali berbuat demikian, mereka berkata beliau tidak boleh berbuat begitu.

"Saya beritahu Tan Sri Khalil (Yaakob, Setiausaha Agung Umno) yang saya hendak bersara, tapi katanya jangan...jangan...jangan bersara.

Kredibiliti

"Saya fikir, sekiranya saya tidak membuat pengumuman mengenainya, orang akan fikir saya tidak serius. Dengan membuat pengumuman di hadapan umum, terutama pada perhimpunan Umno, yang saya anggap sebagai forum paling penting bagi saya, maka tiada jalan lagi untuk berpatah balik.

"Dengan membuat pengumuman di hadapan umum, sekiranya saya menarik balik, kredibiliti saya akan hilang."

Ditanya kenapa beliau tetap berkeras untuk berundur walaupun setiap lapisan rakyat merayu agar beliau terus berkhidmat, Dr Mahathir berkata: "Antara perkara yang diajar kepada saya semasa kecil ialah saya tidak boleh tinggal melebihi tempoh yang sepatutnya apabila pergi ke rumah seseorang. Anda perlu sedar sama ada orang mahu anda terus tinggal atau beredar, jadi jangan tinggal melebihi tempoh yang dialu-alukan."

"Keadaan ini samalah dengan berada di sesuatu jawatan, sekiranya saya tinggal melebihi tempoh yang dialu-alukan dan menunggu hingga rakyat membenci saya baru hendak berundur, maka tentulah ia tidak begitu baik."

Perdana Menteri berkata beliau berundur walaupun, pada waktu yang sama, bercakap mengenai "tugas beliau yang belum selesai".

"Tugas tidak akan pernah selesai. Jika kita ingin menunggu sehingga selesai semua tugas, kita tidak akan berundur," tambahnya.

Ditanya kenapa beliau tidak menunggu sehingga selepas pilihanraya umum akan datang untuk berundur, Dr Mahathir berkata ini kerana akan terdapat satu demi satu pilihanraya umum di negara ini.

"Jika selesai satu pilihan raya, kita perlu menunggu yang satu lagi...hingga kita tidak boleh berundur," tegasnya lagi.