Sertai himpunan di Suhakam Sabtu ini, seru PRM
Perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tetap diteruskan walau sebilangan ahli jawatankuasa penganjur acara itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak dua hari lalu.
Parti Rakyat Malaysia hari ini pula menggesa orang ramai hadir menyokong majlis penyerahan memorandum tersebut.
"Kami menyeru anggota-anggota parti dan semua golongan rakyat yang ingin menegakkan keadilan, demokrasi, perpaduan nasional dan kebajikan rakyat supaya keluar beramai-ramai untuk menyertai perhimpunan aman itu," kata Presiden PRM Dr Syed Husin Ali kepada malaysiakini.
Keputusan parti itu untuk menyertai acara tersebut dicapai malam tadi, antara lain sebagai membantah penggunaan akta tersebut terhadap tujuh aktivis pembangkang sejak dua hari lalu.
Mereka yang ditahan adalah Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, Setiausaha Pemuda N Gobalakrishnan, pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan tersebut Saari Sungib dan penulis tamu malaysiakini serta juga aktivis reformasi Hishamuddin Rais.
Sementara dua tangkapan terbaru pagi semalam membabitkan pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) Raja Petra Raja Kamaruddin dan aktivis Pemuda Keadilan Abdul Ghani Haroon.
Sokongan wakil rakyat BA
Malaysiakini difahamkan beberapa anggota Dewan Rakyat pembangkang daripada beberapa parti dalam pakatan Barisan Alternatif bersetuju untuk menyertai perhimpunan itu walau polis semalam mengisytiharkan perhimpunan di depan pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur "tidak sah."
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut memberikan sokongan kepada memorandum itu setakat ini tidak mengumumkan penarikan diri.
Sementara itu malaysiakini juga difahamkan, jawatankuasa penganjur akan mengumumkan tindakan selanjutnya dalam satu sidang akhbar hari ini.
Semalam Suhakam bertegas untuk menerima memorandum hak asasi itu walau Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai mendakwa "perhimpunan serta perarakan ini berpotensi menjadi rusuhan."
Badan itu juga menggesa kerajaan membebaskan segera mereka yang ditahan di bawah ISA atau mendakwa mereka di mahkamah, jika didapati terbabit melanggar undang-undang.
Dalam kenyataan lewat petang semalam, Suhakam melahirkan rasa "sangat kesal" terhadap tindakan menahan kumpulan tujuh aktivis itu setelah badan itu bersedia menyambut rombongan wakil-wakil kumpulan reformasi dan NGO Sabtu ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.