Perwaja Steel gagal kerana orang yang bertanggungjawab mengurusnya tidak begitu memahami proses membuat keluli dan teknologi yang diperlukan, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, pengurus di peringkat tertingginya juga tidak turun ke padang dan kos pengeluarannya lebih tinggi daripada harga produk.

Perdana Menteri menegaskan demikian dalam satu temubual dengan Bernama di Putrajaya semalam, ketika diminta mengulas mengenai kemajuan pesat sebahagian syarikat Malaysia di pasaran dunia dan menamakan Proton sebagai salah satu daripadanya.

Bagaimanapun, katanya, ada juga yang gagal, sepertimana dalam kes Perwaja Steel , kerana menurut beliau, tiada siapa yang boleh menjamin kejayaan dalam perniagaan.

Namun begitu, Dr Mahathir menegaskan kegagalan Perwaja bukan kerana ia merupakan idea yang bodoh untuk mengadakan industri berat di Malaysia, tetapi kerana orang yang diberi tanggungjawab mengurusnya tidak tahu bagaimana hendak mengurus.

"Bukan idea yang salah, ia adalah kegagalan pengurusan," tegasnya sambil menambah, pada satu masa, pengurusan peringkat tertinggi syarikat itu, mengendalikan operasi dari Kuala Lumpur walaupun kilang keluli itu berada di Terengganu.

Operasi terhenti

Operasi Perwaja Steel bermula pada 1982 sebagai satu usahasama antara Perbadanan Industri Berat Malaysia (Hicom) dan Nippon Steel Corporation dari Jepun. Ia mengalami kerugian dan pada 1996, diambil alih oleh Maju Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat keluli bumiputera yang berjaya.

Ditanya bagaimana Perwaja Steel kerugian wang apabila permintaan untuk produk keluli pada ketika itu berada di tahap tertinggi, Dr Mahathir berkata, kalaupun terdapat permintaan, jika kos pengeluaran mengatasi harga jualan, ia masih kerugian wang.

"Mereka (Perwaja Steel) mengeluarkan keluli yang mereka tidak boleh jual dan operasi kilang terhenti. Itulah yang berlaku kepada Perwaja Steel."

Tetapi dalam kes Proton, Dr Mahathir berkata, ketika syarikat itu tidak mencatatkan prestasi yang baik di peringkat awalnya, beliau terpaksa membawa pakar dari Jepun untuk mengurusnya.

"Orang Jepun memulihkannya dan hari ini ia mencatat pencapaian yang baik," tambahnya.

Malaysia kini merupakan satu daripada 10 negara di dunia dengan keupayaan mengeluarkan kereta. Proton, yang mengeluarkan kereta pertama pada 1985, telah mengumumkan rancangan untuk mengembangkan pasaran di luar negara.