Seorang lagi pemimpin PAS nafi laporan media
Seorang lagi pemimpin tertinggi PAS menafikan membuat kenyataan yang parti itu tidak pernah bercita-cita untuk menubuhkan negara Islam di Malaysia, sepertimana yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan hari ini.
Seorang lagi pemimpin tertinggi PAS menafikan membuat kenyataan yang parti itu tidak pernah bercita-cita untuk menubuhkan negara Islam di Malaysia, sepertimana yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan hari ini.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan membabitkan nama saya yang keluar di muka 4
Utusan Malaysia
keluaran hari ini yang memetik saya sebagai berkata demikian," kata naib presiden parti Datuk Dr Hasan Ali dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan itu disiarkan di muka 4 akhbar berkenaan di bawah tajuk "PAS tidak pernah bercita-cita tubuh Negara Islam - Hasan Ali". Beliau dipetik berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Bangunan Parlimen semalam.
Laporan itu memetik Hasan sebagai berkata, penubuhan Negara Islam hanya disensasi oleh pihak media tetapi PAS sebenarnya tidak berhasrat menubuhkan negara itu.
Laporan itu seterusnya memetik Hasan sebagai berkata, apa yang dimaksudkan oleh PAS, jika diberi peluang memerintah negara ini, ialah ia ingin mewujudkan sistem pemerintahan demokrasi mengikut lunas-lunas Islam.
"Saya memandang berat laporan yang tidak beretika dan profesional ini dan mendesak Utusan Malaysia menyiarkan penafian saya ini.
"Saya langsung tidak menyebut perkara yang dilaporkan dan jika penafian ini tidak disiarkan, saya akan bertindak lebih lanjut mengikut kesesuaian dan kewajaran daripada terus difitnah.
Wacana
Hasan menjelaskan, beliau memanggil sidang media semalam untuk membuat kenyataan mengenai program 'wacana dasar-dasar alternatif' yang akan diadakan Sabtu ini di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
"Sidang media itu turut dihadiri oleh setiausaha wacana dasar-dasar alternatif, Mustaffa Kamil Ayub dan beberapa pemimpin Barisan Alternatif (BA) yang lain," tambahnya.
Semalam, setiausaha agung PAS, Nasharuddin Mat Isa mendakwa pihak media telah memutarbelitkan kenyataan dalam sidang media selepas mesyuarat penuh jawatankuasa kerja pusat PAS Ahad lalu.
Katanya, PAS tidak mungkin dan tidak sekali-kali akan membentuk sebuah kerajaan negara Islam yang teokratik jika diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan selepas pilihanraya umum akan datang, sepertimana laporan dalam
New Straits Times
(NST) Isnin lalu.
Sebaliknya, beliau mengulangi bahawa PAS akan menubuhkan sebuah kerajaan yang demokratik bersama rakan-rakan parti yang bersamanya, sepertimana yang terbukti di Kelantan dan Terengganu.
"Dalam sidang media itu, saya tidak langsung menyebut perkataan teokratik yang sengaja dipetik dengan mengaitkan sidang media saya bersama ketua penerangan PAS, Datuk Dr Harun Din," kata Nasharuddin.v


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.