Trafik di lebuhraya ke KL sesak
Trafik di lebuh raya menghala ke Kuala Lumpur sesak berikutan penduduk bandaraya yang balik ke kampung untuk menyambut Hari Raya dan bercuti akan mula bekerja esok.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan keadaan sesak dari kawasan Tapah ke Slim River di Perak, dan dari Simpang Renggam ke Skudai di Johor.
Selain itu, trafik dari jambatan Pulau Pinang menghala ke Plaza Tol Juru dan dari Plaza tol Taiping Utara kini semakin pulih dengan keadaan trafik berjalan lancar.
Bagi Lebuhraya Pantai Timur, keadaan sesak dilaporkan di Plaza Tol Bentong ke Kuala Lumpur.
Trafik pagi
Pagi tadi, Kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara menghala ke ibu kota dilaporkan semakin bertambah namun trafik secara amnya berjalan lancar.
Jurucakap PLUS ketika dihubungi pada jam 11 pagi ini melaporkan kawasan yang banyak kenderaan ialah dari Changkat Jering ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak dan Simpang Pulai ke Gopeng.
Kenderaan juga dilaporkan bertambah dari Bidor ke Slim River dan R&R Sungai Perak ke Terowong Menora manakala trafik bergerak perlahan dari Sungkai ke Slim River.
Bagi kawasan selatan, trafik bergerak perlahan di Tambak Johor iaitu sempadan antara Johor dan Singapura namun di kawasan lain trafik masih bergerak lancar.
Di plaza tol masuk ke ibu kota iaitu Jalan Duta dan Sungai Besi kenderaan masih bergerak lancar.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, 16 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya semalam iaitu hari ke-12 Ops Sikap-24, menjadikan jumlah kematian 228 orang.
Polis Bukit Aman dalam laman sesawangnya hari ini melaporkan penunggang motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi sebanyak sembilan orang.
Sebanyak 13 kes kemalangan maut direkodkan dan daripada jumlah itu, satu kes dicatat di lebuh raya, jalan persekutuan (lima), jalan negeri (dua), diikuti dengan empat di jalan bandaran dan satu di lain-lain jalan.
Sebanyak 8,606 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam operasi semalam.
- Bernama

