Noramfaizul dilindungi insurans
Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BernamaTV yang terkorban di Somalia pada Jumaat lalu, dilindungi dua polisi insurans yang diambil oleh Bernama, kata pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman hari ini.
"Semua petugas Bernama dilindungi dua polisi insurans -- insurans hayat dan dan insurans kemalangan diri yang terpakai di seluruh dunia," kata beliau sebagai respons kepada spekulasi yang tersebar dalam internet bahawa Allahyarham Noramfaizul tidak dilindungi insurans semasa menjalankan tugasan terakhirnya itu.
Selain itu, Kelab Putra 1Malaysia turut mengambil polisi insurans kelompok kepada semua 55 anggota misi bantuan kemanusiaan ke Somalia.
Abdul Rahman berkata Bernama akan turut menghulurkan segala sokongan dan bantuan yang diperlukan oleh keluarga Allahyarham.
Dalam perkembangan berkaitan Pengurus Besar Bernama Datuk Hasnul Hassan berkata pihaknya akan meneliti semula beberapa prosedur operasi standard (SOP) dalam menghantar wartawan untuk tugasan di luar negara, terutamanya di zon kritikal atau dilanda konflik.
Katanya, selain menyediakan wartawan dengan latihan secukupnya, pertubuhan itu akan turut meneliti aspek keselamatan.
"Kami berkemungkinan perlu melihat bagaimana petugas kami dapat dilindungi dengan sebaik-baiknya. Sekiranya SOP perlu diubah, kami akan mengubahnya selepas berbincang dengan jawatankuasa pengurusan," katanya kepada pemberita di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, hari ini.
Allahyarham Noramfaizul, 39, terkorban di Mogadishu pada Jumaat setelah terkena tembakan ketika dalam perjalanan menaiki sebuah kenderaan bersama petugas media lain dari Malaysia yang membuat liputan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia.
Hasnul berkata Bernama tidak akan berhenti daripada menghantar wartawan untuk tugasan di luar negara, sambil menambah pertubuhan berkenaan sering menghantar wartawan berpengalaman ke luar negara.
"Ini adalah dasar kami. Bagaimanapun, jika membabitkan keadaan yang sukar, keputusan dibuat atas dasar sukarela," katanya.
- Bernama

