Penduduk di Sungai Rambai di Jasin mengutip RM1,400 untuk keluarga jurukamera BernamaTV , Noramfaizul Mohd Nor, yang terbunuh di Somalia.

Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai, Hassan Abdul Rahman, berkata sumbangan itu adalah sebagai tanda sokongan moral terhadap pengamal media khususnya BernamaTV .

"Sumbangan ikhlas ini adalah hasil kutipan daripada penduduk 14 buah kampung yang terdapat di dalam kawasan Sungai Rambai sebaik sahaja berita kematian Allahyarham disebarkan oleh media," katanya selepas satu majlis tahlil kepada Noramfaizul bersama penduduk kampung dan wartawan di Jasin hari ini.

Sumbangan itu disampaikan kepada Ketua Biro Bernama Melaka, Mohamad Bakri Darus, untuk diserahkan kepada keluarga Allahyarham.

Hassan berkata beliau masih ingat pertemuan pertamanya bersama allahyarham ialah apabila beliau dijemput oleh BernamaTV untuk ditemu ramah dalam satu siaran lansung sempena Sukan Malaysia ke-13 pada tahun lepas.

--Bernama