Taiwan kini menggalakkan lebih banyak pelaburan mewah ke Malaysia terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan bioteknologi.
Timbalan Perwakilan (Hal-Ehwal Ekonomi) di Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Lin Min-Li berkata beberapa syarikat Taiwan berminat untuk melabur di Malaysia kerana lokasinya yang strategik.
Beliau berkata AU Optronics (AOU) dan American Sun Power dari Taiwan telah melabur secara besar-besaran di Malaysia sejak beberapa dekad lalu untuk membina Bandar Solar di Melaka.
Dengan pelaburan sehingga US$600 juta, bandar solar itu dijangka menjadi antara kilang terbesar seumpamanya di dunia menjelang 2013.
Lin berkata demikian dalam taklimat media hari ini bersempena dengan Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2011, acara empat hari yang bermula esok di Pusat Konvensyen KL.
Lin berkata Malaysia adalah yang paling aktif di kalangan negara-negara Asean dalam memajukan industri hijau tetapi negara kekurangan sumber insan dan teknologi berkaitan yang mana Taiwan mempunyai kelebihan dalam semua itu.
"Sehubungan itu, pastinya Taiwan dapat melengkapi matlamat dan cita-cita Malaysia dalam pasaran hijau," tambah beliau.
Pada IGEM tahun ini, Lin berkata Taiwan telah menambah bilangan peserta dan petak pameran, masing-masing kepada 33 dan 35, daripada hanya 14 syarikat dan petak pameran tahun lepas sambil menambah yang terdapat dua pavilion iaitu Pavilion Taiwan dan Green Light Pavilion.
Beliau berkata paparan utama IGEM tahun ini ialah "Polli-Bricks", botol polimer kitaran semula yang boleh berpasak bagi membina satu rangkaian struktur yang hebat.
Ia boleh digunakan untuk membina apa sahaja - daripada pagar dan bumbung hinggalah kepada pasu untuk tanaman dan dinding pencahayaan.
Polli-Bricks direka oleh syarikat berpangkalan di Taiwan - Miniwiz Sustainable Energy Development Ltd.
Pengarah Miniwiz Building Solution David Lee berkata membina struktur daripada botol-botol itu akan mengurangkan kos pembinaan dan bahan sebanyak 30 peratus berbanding pembinaan biasa.
Lee berkata Miniwiz pada masa ini sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia untuk melaksanakan projek bangunan hijau di Melaka yang menggunakan Polli-Bricks.
Beliau, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut sambit menambah satu pengumuman rasmi akan dibuat pada IGEM 2011.
Miniwiz telah memperkenalkan bangunan pertama PET kitaran semula dunia, EcoArk Pavilion, yang diperbuat daripada 1.5 juta botol plastik di Taipei yang ditayangkan di Saluran Discovery.
Lee berkata Miniwiz akan mengembangkan aktiviti ke seluruh dunia dan merancang membentuk syarikat usaha sama di Malaysia.
Beliau menambah yang Miniwiz mempunyai rakan niaga di Jerman dan tidak lama lagi akan berhubung dengan rakan-rakan niaga di Amerika Selatan.
- Bernama
