MCA buka permohonan pinjaman pengajian
Pinjaman pengajian terbaru MCA, 1MCA Education Loan, dengan dana permulaan RM30 juta, kini dibuka untuk permohonan, kepada semua pelajar yang layak.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, pinjaman itu yang merupakan kolaborasi antara MCA dan Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi) mensasar untuk menyediakan pinjaman kepada 150 mahasiswa dan 50 lepasan siswazah.
"MCA komited menyediakan pengajian peringkat universiti yang termampu dan berkualiti kepada semua tanpa mengira kaum," kata beliau semasa melancarkan pinjaman itu di Wisma MCA di Kuala Lumpur hari ini.
Pelajar yang mengikuti program mahasiswa boleh memohon pinjaman hingga RM30,000, untuk program lepasan siswazah yang diluluskan Kementerian Pendidikan Tinggi, hingga RM50,000, kata beliau.
Beliau berkata MCA akan menyerap faedah lima peratus untuk lima tahun pertama selepas selesai pengajian.
- Bernama

