Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakatan: Hukum telco kerana tetapkan harga
Diterbitkan:  Sep 13, 2011 3:25 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Pakatan Rakyat mahu kerajaan membatalkan kutipan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pengguna talian telefon prabayar dan menghukum syarikat telekomunikasi kerana bersekongkol menekan rakyat dengan menetapkan harga.

NONE Dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata pengguna telah dipermainkan oleh gergasi telekomunikasi yang berpakat mengenakan cukai perkhidmatan 6 peratus kepada pengguna telefon prabayar yang bercanggah dengan Akta Persaingan 2010.

“Isu sebenarnya adalah percubaan syarikat-syarikat telekomunikasi itu yang secara terang-terangan berpakat mahu menjadi kartel dengan menaikkan cukai yang bertentangan dengan Akta Persaingan 2010.

“Sementara syarikat-syarikat ini berhak untuk menanggung cukai perkhidmatan atau mengenakannya kepada pengguna, kenyataan mereka secara bersama – Maxis, Digi, Celcom dan U-Mobile – menunjukkan mereka bersekongkol untuk menaikkan harga perkhidmatan mereka secara serentak.

Tambah untung

“Mereka juga bersekongkol untuk menambah untung untuk diri mereka tanpa merasa bimbang bahawa saingan mereka akan menurunkan harga bagi menarik pelanggan,” kata Pua.

NONE Khamis lalu, semua syarikat berkenaan mengumumkan mereka akan mula mengutip cukai perkhidmatan enam peratus untuk perkhidmatan prabayar mulai Jumaat ini.

Menurut Pua, meskipun syarikat berkenaan berhak menentukan sama ada untuk menyerap cukai perkhidmatan itu atau mengenakan bayaran tambahan, namun undang-undang yang membenarkan kewujudan banyak syarikat telekomunikasi bertujuan menggalakkan persaingan sihat untuk faedah pengguna.

“Rang undang-undang tersebut secara khusus melarang perjanjian anti-persaingan termasuk penetapan harga, kartel import, penipuan tawaran, peruntukan wilayah, mengehadkan pengeluaran, dan perkongsian pasaran,” katanya lagi.

NONE Sementara itu, ketua pemuda PAS, Nasrudin Hassan menggesa supaya cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pengguna talian telefon prabayar dibatalkan terus dan bukannya ditangguhkan.

Katanya, pemuda PAS berharap pihak kerajaan sebagai penerima hasil cukai tersebut dapat mempertimbangkan mekanisma percukaian yang lebih efektif kepada pengeluar dan pengguna.

“Jika sistem cukai ini diteruskan, golongan yang paling menerima kesan adalah golongan muda, pelajar dan golongan berpendapatan rendah yang terpaksa mengikat perut menghadapi kos sara hidup yang makin tinggi, berbanding pihak kerajaan yang terus mengaut hasil cukai atas keperitan rakyat.

Sama dengan GST

“Pemuda PAS juga berpendapat, impak langsung cukai ini kepada golongan pengguna adalah sama dengan impak cukai GST yang akan diperkenalkan oleh kerajaan dalam masa terdekat,” katanya.

Memetik analisis daripada bank pelaburan, Nasrudin berkata impak menyerap cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus oleh syarikat telekomunikasi berkenaan adalah terlalu kecil.

azlan “Justeru, pihak pemuda PAS menggesa pihak kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab memperkenal dan mengutip hasil cukai ini agar tidak mengambil kesempatan untuk mengaut laba daripada penggunaan telekomunikasi yang tidak anjal (inelastic demand) ini.

“Kami mengharapkan cukai perkhidmatan 6 peratus ini terus dimansuhkan sebagai tanda prihatin kepada generasi muda di dalam Bajet 2012 yang akan diumumkan pada Oktober ini,” katanya.

ADS