MIDA lulus pelaburan RM31.7 bilion
Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan pelaburan bernilai RM31.7 bilion sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
"Ia membabitkan operasi baru dan pembesaran sedia ada," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed kepada pemberita sempena Persidangan CEO Global Forbes, di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, antara syarikat sedia ada di Melaka dan Pulau Pinang melabur sehingga RM1 bilion dan menambah bilangan pekerja masing-masing kepada 1,700 orang.
Mengenai sasaran pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM55 bilion tahun ini, Mustapa berkata, MIDA selaku agensi promosi, berada pada kedudukan yang baik untuk merealisasikannya.
"Prestasi kami baik sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Kami sudah pun memperoleh kira-kira RM21.3 bilion, peningkatan kira-kira 76 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya.
- Bernama

