Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, beliau tidak bersetuju untuk menyediakan insentif kepada syarikat telekomunikasi kerana menangguhkan rancangan mereka untuk mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus kepada pengguna prabayar.

NONE Semasa mengulas cadangan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim semalam, Lim berkata, langkah itu tidak perlu pada masa ini memandangkan semua syarikat telekomunikasi dalam negara mencatatkan prestasi yang baik.

"Kecuali mereka tidak untung, pada masa itu barulah kita memikirkannya," kata Lim selepas merasmikan seminar Penyelesaian Kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2011 di Kuala Lumpur hari ini.

Lim juga menggesa bank-bank tempatan dan asing yang beroperasi dalam negara supaya memperluaskan bantuan mereka kepada PKS bagi membolehkan mereka mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang kemudiannya dapat menyumbang kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.

"Kementerian Kewangan serta Bank Negara mementingkan perkara ini memandangkan jumlah wang yang dipinjamkan kepada PKS tidak seiring dengan sumbangannya kepada ekonomi negara.

chua soi lek and donald lim mca party election debate 151008 07 "Daripada RM950 bilion yang dikeluarkan oleh bank, hanya RM55 bilion diberikan kepada PKS berdasarkan kepada angka terkini, katanya.

Pada masa ini, PKS menyumbang 32 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, 59 peratus jumlah tenaga kerja dan 19 peratus jumlah eksport.

"Kami berharap bank-bank boleh lebih agresif dalam hal ini memandangkan kerajaan terus berusaha dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), yang memerlukan PKS melabur dalam penyelidikan dan pembangunan serta membeli peralatan baru," katanya.

Seminar itu dianjurkan secara bersama oleh Persatuan IKS Malaysia dan Biro Pembangunan PKS MCA.

- Bernama