Badan bukan kerajaan Gerakan Bertindak Selamatkan sekolah agama rakyat atau Gegar kesal jawatankuasa khas yang dilantik oleh kerajaan untuk menyediakan laporan tentang sekolah agama rakyat masih belum dibentangkan kepada umum.

President Gegar Mohd Azmi Abdul Hamid memberitahu malaysiakini beliau hairan mengapa setelah lebih lapan bulan membuat kajian, jawatankuasa khas yang diketuai oleh bekas ketua pengarah pendidikan Tan Sri Abdul Murad Mohd Noor masih belum lagi selesaikannya.

"Ketika kami temui mereka (ahli jawatankuasa) pada beberapa bulan yang lalu, Gegar diberitahu laporan itu telah hampir siap dan cuma perlu sedikit penambahan dan pembetulan kecil," katanya ketika dihubungi pagi ini.

"Malah mereka berkata laporan itu akan dibentangkan kepada umum sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bersara...ini dijangka berlaku seminggu dari sekarang...tapi tiada seberang berita mengenai laporan itu langsung."

Katanya semenjak kerajaan menarik balik bantuan wang perkapita kepada sekolah agama rakyat, sistem pendidikan Islam itu dilanda pelbagai masalah kritikal yang perlu diselesaikan secepat mungkin demi masa depan pelajar terbabit.

"Sepatutnya perkara ini tidak boleh dipanjangkan. Satu penyelesaian perlu dirumuskan segera dan kerajaan sepatutnya mengambil serius perkara ini," katanya lagi.

Pak Lah senyap

Mohd Azmi juga tidak menolak kemungkinan bahawa laporan itu akan dibentangkan hanya selepas persaraan Dr Mahathir.

"Namun saya tidak melihat peralihan pucuk pimpinan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memberi apa -apa kesan positif kepada isu SAR," kata Azmi.

Ini adalah berdasarkan sikap "berdiam diri" Abdullah tentang isu sekolah agama rakyat ketika ia masih menjadi bualan hangat.

"Dia adalan penaung kepada sekolah agama rakyat Darul Ma'rif Wataniah, di Kepala Batas yang diasaskan oleh datuknya sendiri..namun ketika masalah melanda SAR, beliau tidak berkata apa-apa pun. Jadi saya tidak rasa polisi kerajaan atas isu SAR akan bertukar."

Beliau juga berkata status laporan tersebut akan dibincangkan oleh lebih kurang 500 peserta - terdiri daripada tenaga pengajar, pelajar dan pentadbir SAR- yang dijangka menghadiri perjumpaan dan bengkel "belajar dan berjaya di SAR" yang diadakan di Alor Setar esok.

Katanya lagi, selain dari membincangkan tentang laporan jawatankuasa itu, peserta akan turut berbincang dan rumusan untuk menyelesaikan masalah SAR secara efektif.

Yayasan payung

Antara agenda perjumpaan esok adalah untuk menubuhkan satu yayasan payung yang akan mewakili semua sekolah agama rakyat di Malaysia.

"Kami mahu yayasan ini mengumpul dana yang akan disalurkan kepada sekolah yang dhaif. Antara rancangan kami adalah menyediakan pelan tindakan untuk mendapat derma dari dermawan dari luar negara terutama dari negara Asia Barat," katanya lagi.

"Kami sudah ada kertas kerja mengenai hal itu, dan sedang menyediakan dalam bahasa Arab. Kami sedar ianya bukan perkara mudah kerana kami terpaksa mendapat kebenaran setiap kerajaan negara untuk mendapat bantuan dana daripada mereka."

Beliau juga berkata perjumpaaan esok juga akan memulakan satu kempen untuk menggalakkan pendaftaran pelajar dan tenaga pengajar baru di SAR.

Kontroversi berhubung isu SAR tercetus Oktober lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan pemberhentian bantuan kewangan kepada sekolah agama tersebut.

Dr Mahathir mendakwa sekolah terbabit bukan menyebarkan pengajaran Islam tetapi sebaliknya menyemai kebencian pelajarnya terhadap kerajaan. Bagaimanapun, pendokong SAR menyangkal dakwaan itu dan berkata keputusan itu dibuat atas dasar politik Umno.

Perdana Menteri itu juga mengumumkan keputusan muktamad bahawa kerajaan tidak akan memberi semula bantuan pekapita sebaliknya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji isu pendidikan Islam.

Dalam mesyuarat ke-196 Majlis Raja-Raja bulan Mac lalu, jawatankuasa yang sama telah diarahkan mengambil kira kesemua memorandum yang telah diserahkan kepada majlis tersebut.