Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat banjiri Dataran Merdeka sambut Hari Malaysia
Diterbitkan:  Sep 16, 2011 11:49 AM
Dikemaskini: 2:33 PM

Rakyat Malaysia membanjiri Dataran Merdeka bagi menyaksikan pelbagai acara menarik yang  disusun khas bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang buat pertama kalinya diadakan secara serentak hari ini.

    

Para pengunjung yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan peringkat umur hadir seawal pukul 7 pagi lagi dengan penuh bersemangat untuk mempamerkan rasa cinta kepada negara.

NONE Bertemakan '1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat

Sejahtera', sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48 pada tahun ini didominasi golongan belia yang merupakan peserta terbesar yang mengambil bahagian dalam persembahan kemerdekaan yang merangkumi empat segmen.    

Kira-kira 10,000 peserta daripada pelbagai peringkat iaitu pelajar sekolah, guru, polis, tentera, kakitangan kerajaan dan swasta yang mengambil bahagian dalam acara sambutan itu mula berkumpul seawal 5 pagi.

    

Acara sambutan dalam keadaan cuaca cerah bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada 8 pagi. Turut ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman.

Sebaik tiba, Tuanku Mizan mengambil tabik hormat sebelum

lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja.

    

NONE Pada masa yang sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat, TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormat utama yang terdiri daripada 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Acara diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam 14 das sebelum bacaan ikrar Rukun Negara dilafazkan seramai 54 orang generasi muda pelbagai kaum termasuk golongan kelainan upaya, diketuai oleh pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hishamuddin, Klang, Muizzuddin Maarof, 18, yang diikuti dengan laungan "Merdeka" sebanyak tujuh kali dan "1Malaysia" sebanyak tiga kali.

    

Dataran Merdeka kemudiannya bertukar meriah apabila seramai 2,300 pelatih perguruan mempersembahkan nyanyian koir gubahan baru lagu Rukun Negara yang diterjemahkan melalui pergerakan formasi oleh 2,500 pelajar sekolah sekitar Selangor.

    

Persembahan padang dan jalan raya bertemakan 'Kejayaan Transformasi 1Malaysia' turut berlangsung di Dataran Merdeka melibatkan 860 orang daripada kumpulan kesenian pelbagai jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

    

NONE Kontinjen Generasi 1Malaysia Cergas pula mendahului acara perarakan perbarisan yang terdiri daripada 100 orang belia dengan iringan lagu 'Malaysia Satu', diketuai oleh Presiden

Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohd Rapiee.

    

Turut mengambil bahagian dalam Kontinjen Generasi 1Malaysia Berjaya adalah Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, penyanyi Aizat Amdan, pemuzik Datuk Ahmad Nawab, pengarah filem Datuk Yusof Haslam, pemain badminton nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei, yang berarak menaiki Proton Lotus serta kenderaan klasik.

Kontinjen Generasi Muda Kreatif diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf pula melibatkan 195 orang, antaranya 35 anggota Permata Seni, 42 pengiat teater, perfileman dan animasi, serta maskot siri televisyen Upin dan Ipin, Cicak Man dan Merong Mahawangsa.

    

NONE Kontinjen seterusnya adalah Kontinjen Swasta yang menonjolkan

kostum ala futuristik yang diketuai oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar, diikuti Kontinjen Komunikasi yang diketuai oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Khalid Ramli.

    

Kontinjen Peladang, Petani, Penjaja dan Perikanan 4P turut mengambil bahagian membabitkan 308 anggota manakala 66 peserta Kontinjen Pengangkutan Awam-Teksi tampil dengan menaiki 54 buah teksi.

    

Menambah keindahan warna-warni sambutan adalah perarakan 32 kereta berhias yang menterjemahkan kejayaan Pelan Transformasi Kerajaan dan Pelan Transformasi Ekonomi.

    

Dua syarikat pengeluar kenderaan nasional negara, Proton dan Perodua, turut tidak ketinggalan mempamerkan model kenderaan masing-masing seperti Siri Pahlawan Proton (Tuah, Jebat, Lekir), kenderaan elektronik Saga Easy dan Exora Ree, Alza Infinite, Kelisa Buggy, Perodua Eco Advanture dan Myvi 1.5 yang baru dilancarkan semalam.

    

Acara diteruskan dengan persembahan pancaragam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sekolah Henry Gurney dan TLDM yang mengiringi perbarisan Pasukan Beruniform Generasi Muda, Pasukan Ketenteraman Awam dan Sukarelawan dan Pasukan Kawad Senyap.

    

Sambutan kali ini juga membawa kelainan apabila buat pertama kalinya, hadirin dapat menyaksikan persembahan kawad dan tempur gabungan antara pasukan PDRM dan ATM, selain 10 unit pesawat pejuang TUDM turut menyerikan ruang udara Dataran Merdeka dengan formasi-formasi menarik.

    

Persembahan yang berlangsung kira-kira 1 jam 37 minit itu diakhiri dengan gabungan suara 5,541 peserta yang menyanyikan rangkaian lagu patriotik seperti Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera, Gemuruh, Jalur Gemilang, Tanggal 31 dan 1Malaysia Inspirasiku, dengan disertai barisan artis tempatan dan diiringi dengan pertunjukan luncur udara Jalur Gemilang.

    

Selesai persembahan, Perdana Menteri turun dari pentas VIP untuk bertemu dan bersalaman dengan para peserta yang berada di kawasan Dataran Merdeka.

    

"Saya teruja dengan persembahan anda," katanya yang disambut sorakan para peserta dan orang ramai.

    

Dataran Merdeka kembali menjadi lokasi utama bagi sambutan kemerdekaan selepas dua tahun diadakan di tempat lain. Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun lepas diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dan Dataran Parlimen pada tahun 2009.

- Bernama

   


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS