PAS positif pengisytiharan M'sia negara Islam
Kerajaan PAS Terengganu menegaskan hari ini bahawa pihaknya mengambil sikap positif terhadap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Kerajaan PAS Terengganu menegaskan hari ini bahawa pihaknya mengambil sikap positif terhadap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
"Dengan pengisytiharan itu, bermakna penguatkuasaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M merupakan kemuncak penghargaan dan sanjungan kerajaan negeri kepada beliau yang akan bersara Jumaat ini," demikian menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Terengganu hari ini.
Dalam kenyataan tiga muka yang ditandatangani oleh Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Haji Zahari Mohamed, Kerajaan Negeri Terengganu juga mengucap tahniah di atas kejayaan negara pimpinan Dr Mahathir yang dipilih sebagai pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) baru-baru ini.
Sehubungan itu, Kerajaan PAS Terengganu mengulangi pendiriannya bahawa tindakannya mewartakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 Isnin lalu adalah selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, Perkara 3 (1) itu memperuntukkan bahawa "Agama Islam ialah agama persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan".
"Dengan peruntukan itu, Kerajaan Negeri Terengganu berpendirian bahawa adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan enakmen tersebut yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 8 Julai tahun lalu, dan mendapat perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2 Sept lalu," tegas kenyataan itu.
Hukum Allah
Menurut kenyaatan itu, penguatkuasaan enakman tersebut adalah untuk membuktikan bahawa undang-undang Islam adalah bebas dan bersih daripada sebarang unsur-unsur kezaliman terhadap seluruh manusia kerana ianya datang dari Allah yang "yang maha adil, maha mengetahui, dengan semua sifat kesempurnaan."
"Dengan bidangkuasa yang ada pada negeri, kerajaan negeri mahu melaksanakan undang-undang syariah yang mengambil kira aspek tersebut. Jadi apabila negeri meluluskan undang-undang, sudah tentu ia akan menjadi undang-undang di peringkat negeri," tambah kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, memandangkan Perlembagaan Negara telah berkali-kali dipinda, maka "mengapa tidak boleh dibuat pindaan dalam perkara kecil dari segi agama bagi melaksanakan syariat Allah kepada orang Islam".
"Undang-undang kesalahan jenayah ini ialah undang-undang bagi orang Islam sahaja. Orang bukan Islam tidak diwajibkan dan mereka tidak perlu bimbang. Sebelum dibahaskan di Dewan Negeri, kerajaan negeri telah mengemukakannya kepada semua pihak, termasuk ahli akademik, pemimpin politik, badan bukan kerajaan dari kalangan Islam dan bukan Islam .
"Sebelum ini, pihak-pihak yang berjumpa kerajaan negeri, selepas diberi penjelasan, berpuashati dan menunjuk respon baik, kecuali mereka yang tidak datang dan membuat kenyataan dari jauh sahaja," tambah kenyataan itu.
Kesan positif
Berikutan itu, kerajaan negeri berharap agar sesetengah pihak di negara ini tidak terikut-ikut rentak barat dan golongan anti-Islam yana menurutnya, sentiasa mencari ruang untuk memburuk dan menyerang Islam melalui pelaksanaannya syariat Allah ini.
Sementera itu, Arfa'eza A Aziz melaporkan bahawa pewartaan enakmen tersebut telah memperlihatkan kesan positif di mana umat Islam di negeri itu kini lebih berhati-hati dalam tindak-tanduk mereka kerana "takut" kepada undang-undang Allah itu.
Menurut Mufti Terengganu, Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir, beliau menerima panggilan dari orang ramai yang bertanyakan tentang enakmen itu.
"Nampaknya mereka sudah mula takut kepada hukum Allah...mereka takut untuk melakukan kesalahan kerana hukumannya berat. "Inilah yang kita mahu sebenarnya... supaya umat Islam tidak melanggar hukum agama," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini mengenai perkembangan mutaakhir penguatkuasaan enakmen tersebut di Terenggganu.
"Bukan hasrat kita untuk memotong tangan orang. Al-Quran pun bukan mahukan kematian. Dalam undang-undang Islam, hukuman adalah perkara kedua (kerana) yang pentingnya enakmen tersebut mempunyai kesan pencegahan. Jadi boleh saya katakan di sini bahawa kesan enakmen itu sudah nampak," tambahnya.
Kerajaan PAS Terengganu telah mewartakan enakmen tersebut Isnin lalu selepas diluluskan oleh Dewan Negeri 8 Julai tahun lalu, yang penguatkuasaannya terpakai ke atas mereka yang beragama Islam sahaja.
Sekadar mampu
Enakmen tersebut telah mendapat pelbagai reaksi dari badan bukan kerajaan dan parti politik, termasuk Umno yang munuduh ianya sebagai "undang-undang PAS" dan bukanlah undang-undang Islam sebenarnya.
Mengulas lanjut mengenainya, Sheikh Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri tidak boleh menghalang sebarang sekatan yang dikenakan oleh kerajaan pusat yang ternyata lebih berkuasa.
"Memang Perlembagaan Persekutuan memberi kerajaan pusat lebih kuasa. Jadi kita berusaha sedaya-upaya kita untuk menjayakanya.
"Kalau kita boleh melaksanakan sepenuhnya, Alhamdullillah...tetapi jika mereka (kerajaan pusat) sekat kita...mereka sendirilah yang tanggung. Kita membuat sekadar kemampuan kita, yang lain terserah kepada Tuhan," tambahnya.
Ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajan pusat akan mengambil tindakan undang-undang jika Terengganu melaksanakan enakmen tersebut, Sheikh Abdul Hamid berkata, perkara itu hanya boleh dijawab oleh Dr Mahathir sendiri.
"Apakah kesalahan kita dalam melaksanakan enakmen ini? Yang kita buat adalah mengikut panduan al-Quran dan Sunnah. Jadi hanya dia yang tahu apa kesalahan kita dan bagaimana dia akan bertindak. Seperti yang saya kata tadi, setakat mana yang kita boleh...," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.