Perdana Menteri kerajaan sementara Somalia, Dr Abdiweli Mohamed Ali menyampaikan ucapan takziah beliau dan negaranya kepada Malaysia terutama kepada keluarga jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan di Mogadishu pada awal bulan ini.

noramfaizul mohd nor Ucapan takziah itu disampaikan Abdiweli kepada Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dalam pertemuan dua hala antara kedua-dua negara yang menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung di New York.

“Abdiweli sangat terharu tentang keprihatinan Malaysia terhadap Somalia, dan usahanya menerusi badan bukan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kemanusian seperti makanan dan perubatan kepada rakyat negara itu,” kata Anifah di New York.

Anifah berada di New York mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Perhimpunan Agung PBB ke-66 dengan tema “Peranan Mediasi dalam Penyelesaian Pertikaian dengan Cara Aman”.

somalia soldiers on truck 1 Noramfaizul, 39, terkorban setelah terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putra 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, 3 September lalu.

Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Anifah menegaskan bahawa Malaysia akan tetap meneruskan usaha menyalurkan bantuan kepada negara berkenaan walaupun selepas kejadian itu berlaku.

“Kini Mercy Malaysia sedang berada di Somalia, dan beberapa badan bukan kerajaan lain turut memohon kementerian membantu mereka dalam meneruskan usaha mereka untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat negara Afrika itu,” katanya.

- Bernama