Amsec: Putuskan hubungan ketenteraan dengan Australia
Sekretariat Belia Islam Asean (Amsec) mendesak negara anggota Asean, termasuk Malaysia, supaya memutuskan hubungan ketenteraan dengan Australia sebagai menolak campurtangan Amerika Syarikat dalam urusan politik dan keselamatan rantau ini.
Sekretariat Belia Islam Asean (Amsec) mendesak negara anggota Asean, termasuk Malaysia, supaya memutuskan hubungan ketenteraan dengan Australia sebagai menolak campurtangan Amerika Syarikat dalam urusan politik dan keselamatan rantau ini.
"Malaysia mesti berusaha untuk menyingkirkan Australia daripada Perjanjian Senjata Lima Negara atau Malaysia bertindak menarik diri daripada perjanjian tersebut sebagai membantah pengisytiharan Australia sebagai sherif Amerika di rantau ini," kata Presiden Amsec, Mahfuz Omar.
Asean juga, katanya, hendaklah mengadakan satu mesyuarat khas menteri luarnya dengan segera untuk merundingkan perkara ini dan membuat pendirian tentang kedudukan Australia sebagai jiran terdekat Asean.
Menurut Mahfuz, Amsec memandang serius tindakan Presiden George W Bush yang mengisytihar Australia sebagai sherif bagi Asia Tenggara, bagi mengukuhkan lagi cengkamannya ke atas politik dan ekonomi wilayah terbabit yang diramalkan bakal mencabar kedudukan negara itu (AS) pada masa depan.
Amsec, kata Mahfuz, membantah keras tindakan Bush yang cuba memperluaskan pengaruhnya di rantau ini, untuk membolehkan negara-negara di rantau ini tunduk terhadap hegomoninya.
"Perlantikan Australia untuk menjadi sherif, kononnya bertujuan untuk menangani keganasan di rantau ini adalah tidak tepat.
"Australia bukanlah sebuah negara yang berpengaruh di rantau ini. Bahkan Australia tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menganggu urusan dalam negara-negara di rantau ini," tambah Mahfuz.
Keganasan
Sebaliknya, kata beliau, isu keganasan ini sepatutnya diselesaikan sendiri oleh negara-negara yang berkaitan, bukannya diuruskan oleh sherif yang dilantik oleh Amerika atau diuruskan mengikut telunjuk Amerika.
Menurut Mahfuz lagi, perkara seperti itu, sepatutnya dibuat oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, selaku badan dunia dalam soal keselamatan dan keamanan global.
"Amerika tidak perlu heboh tentang masalah keganasan di rantau ini kerana Amerika sendiri adalah pengganas yang meruntuhkan negara Afghanistan dan Iraq, selain melindungi keganasan Israel dengan menggunakan kuasa vetonya," tambah beliau.
Malah, katanya, percubaan Amerika untuk melantik Australia sebagai sherif adalah seolah-olah menghidupkan semua peranan Australia sebagai pusat pembuangan pengganas pada zaman kolonial dengan menjadikan Australia sebagai agen pengganas di rantau ini.
Oleh itu, katanya, Amsec mendesak negara-negara Asean supaya bertegas mempertahankan kedaulatan masing-masing daripada dicabuli oleh Amerika atau sherifnya, Australia.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.