NGO Islam gesa resolusi zakat, hak asasi
Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia yang sedang berlangsung digesa memasukkan perkara berkaitan isu semasa, seperti masalah birokrasi pemberian zakat dan pembelaan hak asasi sebagai resolusinya.
Gesaan terhadap kongres yang pertama kali diadakan itu dibuat oleh 17 NGO yang berpayung bawah Gabungan NGO-NGO Islam (Accin) hari ini.
"Majlis Agama Islam negeri-negeri perlu mengurangkan birokrasi dalam pemberian bantuan zakat kepada para asnaf bagi mengelakkan golongan ini dieksploitasi oleh golongan lain," kata setiausaha ACCIN Mohd Roslan Mohd Nor.
Dalam kenyataannya, Mohd Roslan mencadangkan kongres itu memasukkan resolusi supaya Majlis agama Islam negeri-negeri menegaskan kembali komitmen tinggi untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.
Katanya, ia bersesuaian dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia dalam Islam Kaherah (CDHRI) 1990 - yang bertujuan menjadi panduan kepada anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Pada 22 September lalu, Bernama melaporkan empat Sultan, Raja dan Raja Muda mengesahkan akan berangkat hadir ke kongres itu di Kuala Lumpur yang bermula hari ini.
Timbalan Pengerusi kongres itu Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata, Yang Dipertuan Agong akan berangkat merasmikan kongres dua hari yang diadakan untuk meningkatkan kemantapan majlis agama Islam negeri-negeri, sekali gus menghapuskan kekeliruan mengenai peranannya.
Seramai 1,000 peserta dari pelbagai agensi dan individu termasuk anggota majlis agama Islam negeri, jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, pengarah jabatan agama Islam negeri dan pengurus pusat zakat negeri dijangka hadir pada kongres anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama majlis agama Islam negeri-negeri.
Cadangan-cadangan
Mohd Roslan juga berkata, Accin juga mencadangkan beberapa perkara untuk dipertimbangkan sebagai resolusi kongres itu, antaranya:
- Majlis agama Islam negeri-negeri wajar menegaskan komitmen terhadap prinsip-prinsip terkandung dalam perlembagaan dan syariah sebagai panduan umum dan piagam majlis untuk menghadapi era globalisasi.
- Majlis agama Islam negeri-negeri wajar menekankan kepentingan untuk kembali semua aspek pentadbiran syariah dan memastikan pendekatan yang adil dan seimbang terhadapnya.
- Majlis agama Islam negeri-negeri wajar menyatakan keprihatinan, bersesuaian dengan "Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia", terhadap persamaan, perbezaan dan kehidupan harmoni antara agama dan kepercayaan tanpa mengabaikan asas dan kesucian Islam serta Ahli Sunnah Wal Jamaah.
- Majlis Agama Islam negeri-negeri wajar melebarkan kerjasama (interaksi dan perkongsian pintar) untuk menghadapi cabaran umat manusia, khasnya umat Islam tanpa mengira ras, warna kulit, bahasa, jantina, agama/mazhab, sekutu politik, status sosial atau pertimbangan lain.
- Majlis agama Islam negeri-negeri wajar mengenal pasti sumbangan kepada NGO Islam, merangkumi kos bangunan, sekretariat, pengajian, kenderaan dan program, termasuk daripada sumber zakat.
- Majlis agama Islam negeri-negeri wajar meningkatkan kerjasama dakwah dan hubungan dengan bukan muslim dan bukan Melayu, termasuk dalam menangani Islamophobia dan religiophobia yang semakin meningkat.
- Majlis agama Islam negeri-negeri perlu memberikan perlindungan kepada muallaf dan meningkatkan usaha serta proaktif untuk dakwah non-Muslim di seluruh Malaysia.
- Majlis Agama Islam negeri-negeri diminta sentiasa membantu meningkatkan sosio-ekonomi umah dan memperkasa aspek pendidikan agama kepada anak bangsa.
Mengulas penganjuran kongres itu, Mohd Roslan menyifatkannya sebagai titik sejarah baru bagi melihat kerjasama lebih utuh di kalangan majlis agama Islam negeri-negeri dalam melaksanakan agenda pemartabatan Islam di tanahair.
"Accin percaya bahawa kongres ini tepat pada masanya dan ia merupakan persidangan yang amat penting untuk merencana masa depan Islam dan umatnya," katanya.
Accin antaranya dianggotai Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

