Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia yang kelima bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersara mulai hari ini.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun menggantikan Tun Hussein Onn pada 16 Julai 1981.

Istiadat tersebut berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra di Balairong Seri Istana Negara mulai jam 3.15 petang.

Abdullah, 64, yang berbaju Melayu berwarna hitam bersama isteri Datin Seri Endon Mahmood tiba di Istana Negara pada jam 2.40 petang, diikuti ketibaan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan isteri Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali lima minit kemudiannya.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid berangkat memasuki Balairong Seri pada jam 3 petang. Turut hadir orang kenamaan lain termasuk anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.

Upacara bermula jam 3.05 petang, dengan istiadat pengurniaan suratcara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia oleh Abdullah sebagai perdana menteri.

Anak sulung

Abdullah kemudian membaca ikrar mengangkat sumpah taat setia serta menyimpan rahsia sebelum menandatangani keempat-empat suratcara pelantikan.

Keempat-empat suratcara pelantikan itu kemudiannya ditandatangani oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai saksi yang kemudiannya diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman.

Abdullah dilahirkan di Kepala Batas, Pulau Pinang, pada 26 Nov 1939, merupakan anak sulung kepada pasangan guru agama dan ahli politik Ahmad Badawi dan Kailan Hassan.

Sementara itu, Seri Paduka turun berkenaan menganugerahkan Darjah Kebesaran Persekutuan Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) kepada Dr Mahathir dan Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM), kepada Dr Siti Hasmah, kedua-duanya membawa gelaran Tun.

Anugerah itu disampaikan sejurus selepas Abdullah mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri. Anugerah SMN dan SSM itu merupakan darjah kebesaran yang tiap-tiap satu terhad kepada 25 orang. Ini termasuk jumlah warga negara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat.

Serah tugas

Sebelum ini, gelaran Tun juga pernah dianugerahkan kepada perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak, perdana menteri ketiga, Tun Hussein Onn bekas timbalan perdana menteri, Tun Dr

Ismail Abdul Rahman dan bekas timbalan perdana menteri, Tun Ghafar Baba. Manakala isteri Tun Abdul Razak, Tun Rahah Mohd Noah turut menerima gelaran tersebut ((SSM) pada 1976.

Upacara mengangkat sumpah Abdullah diikuti pula dengan majlis di mana Dr Mahathir menyerahkan tugas perdana menteri kepada Abdullah di Pejabat Perdana Menteri.

Selepas itu, Dr Mahathir yang memperkenalkan sistem kad perakam waktu bagi kakitangan kerajaan awam pada bulan pertama beliau menjadi perdana menteri, mengetip kad beliau untuk kali terakhir pada jam 5.05 petang, selaku kakitangan kerajaan.

Sebelum itu, dalam sidang media pada hari terakhir khidmatnya sebagai perdana menteri Malaysia keempat, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang menyokong sepanjang 22 tahun beliau memimpin negara.

Sambil melahirkan rasa terimakasihnya terhadap kesemua pengirim surat dan ucapan terima kasih kerana sumbangannya kepada negara, beliau berkata, sokongan rakyat telah membantunya berjaya mengatasi segala rintangan sepanjang menerajui kerajaan.

Dalam sidang media selama 30 minit itu, yang turut dihadiri isterinya, Dr Siti Hasmah, Dr Mahathir berkata, beliau merasa lega kerana "beban" memimpin negara kini akan dipindahkan dari bahunya.

Bercuti

Sidang media kali ini dipenuhi soalan-soalan yang lebih bersifat peribadi berbanding hal-hal yang berkaitan politik dan ekonomi seperti lazimnya sebelum ini.

Mengenai rancangannya selepas ini, pemimpin berusia 78 tahun berasal dari Kedah itu berkata beliau akan berlepas ke luar negara esok untuk bercuti.

"Saya akan lakukan apa yang perlu. Dan saya mungkin menulis pengalaman saya dengan harapan ianya dapat memberi manfaat kepada yang lain," katanya.

Mengenai sambutan Hari Raya Puasa, Dr Mahathir berkata inilah pertama kali dalam 22 tahun beliau menyambutnya "tanpa perlu bekerja pada hari berkenaan".

Sementara itu, Dr Siti Hasmah, ketika ditanya tentang perasaannya mengenai persaraan suaminya, berkata, beliau juga merasa lega, dan secara berseloroh mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana telah "memulangkan" Dr Mahathir kepada beliau.