Kerusi DAP 'hilang' di laman web k'jaan negeri Melaka
Kerajaan negeri Melaka dibidas hari ini kerana tidak menyertakan sekali maklumat tentang perwakilan Pakatan Rakyat di laman web rasmi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.
"Macamana mereka boleh menafikan fakta dan tidak dapat menerima keputusan rakyat. Sepatutnya sebagai laman web kerajaan, pihak terbabit tidak mendiskriminasikan ADUN pembangkang kerana mereka dipilih oleh rakyat dan juga berkhidmat untuk rakyat.
"Ini bukan laman web Umno atau BN, ini laman web rasmi kerajaan yang menggunakan domain kerajaan iaitu gov.com." kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Muhammad Aizat Baharuddin.
Semakan Malaysiakini , mendapati semua kerusi DUN disenaraikan - kecuali lima yang dipegang oleh DAP - N15 Bachang, N16 Ayer Keroh, N19 Kesidang, N20 Kota Laksamana dan N22 Banda Hilir.
Manakala bagi kawasan parlimen Bukit Katil hanya menyenaraikan dua daripada empat kerusi dewan undangan negeri, tanpa memnasukkan kerusi Bachang dan Ayer Keroh.
Sehubungan itu, Muhammad mendakwa kerajaan negeri Melaka takut kepada kepada bayang-bayangnya sendiri.
"Kerajaan Melaka tidak dapat menerima kenyataan bahawa lima kerusi DUN di Melaka dimenangi pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Beliau juga menggesa pihak berkenaan dan 'webmaster' laman web berkenaan supaya segera membuat pembetulan agar rakyat tidak memandang serong kepada kerajaan.
"Jangan dek kerana sentimen politik kita tidak dapat membezakan yang mana laman web kerajaan dan parti.
“Laman web ini sepatutnya menyertakan maklumat lengkap semua Adun tanpa mengira parti politik kerana pembangkang juga adalah sebahagian dari ahli dewan undangan negeri termasuk ketua pembangkang, ia termaktub dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri," katanya.
Untuk rekod lima kerusi yang dimenangi oleh DAP pada pilahan raya umum ke-12 lalu adalah melalui Betty Chiew, DUN Kota Laksamana; Khoo Poay Tiong, DUN Ayer Keroh; Lim Jak Wong, DUN Bachang; Goh Leong San, DUN Kesidang, dan Tey Kok Kiew DUN Banda Hilir

