Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JAIS tegas tak keluar tauliah kepada ahli politik
Diterbitkan:  Sep 28, 2011 4:32 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tegas dengan keputusannya untuk tidak mengeluarkan tauliah kepada ahli politik yang mahu berceramah atau menyampaikan tazkirah di masjid dan surau di negeri itu.

azlan Pengarahnya Marzuki Hussin berkata JAIS tidak akan berkompromi walaupun ada pihak yang meminta supaya perkara itu diteliti semula.

Tindakan untuk tidak mengeluarkan tauliah kepada ahli politik itu adalah selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya masjid dan surau tidak dijadikan tempat berpolitik, katanya kepada pemberita, di Shah Alam hari ini.

"Mereka (ahli politik) boleh memohon tetapi jawatankuasa tauliah akan mempertimbangkan mengikut peraturan sedia ada sebagaimana yang dititahkan oleh Tuanku.

"Popular tidak popular tidak timbul sebab sesiapa yang memohon tauliah kita akan ikut peraturan biasa," katanya yang ditemui pada Majlis Aidilfitri di Bangunan Sultan Idris Shah.

Mengulas mengenai hasrat beberapa pemimpin PAS Selangor yang ingin menemuinya berhubung perkara itu, Marzuki berkata Pesuruhjaya PAS negeri Dr Abdul Rani Osman dan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad telahpun menemuinya semalam.

Katanya kedua-dua pemimpin PAS itu meminta Jais menimbang semula perkara tersebut, namun seperti yang dimaklumkan sebelum ini jabatan berkenaan tetap dengan keputusannya.

Khalid sebelum ini didakwa menyampaikan tazkirah tanpa tauliah di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar, Klang, pada 16 Ogos lalu.

Marzuki pada sidang akhbar 15 September lalu mengesahkan anggota parlimen itu akan didakwa mengikut Seksyen 14 (1) Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Mengikut peruntukan seksyen itu, mana-mana pihak yang mengajar tanpa tauliah boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

- Bernama

ADS