Siasatan awal mendapati letupan yang berlaku di pusat beli-belah Empire Gallery di Subang Jaya hari ini tiada kaitan dengan sabotaj dan kegiatan pengganas, kata Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaivegan.

    

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kejadian disebabkan kecuaian.

    

"Berdasarkan siasatan awal, tiada apa-apa bukti menunjukkan kejadian berlaku akibat sabotaj atau ada kaitan dengan terrorism.

    

"Kita anggap ini adalah satu kemalangan, yang mana kita tahu ia disebabkan kebocoran gas. Tapi kita mahu tahu apa punca sebenar letupan itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian.

    

Beliau berkata siasatan akan mengambil kira kertas siasatan daripada pihak bomba dan Suruhanjaya Tenaga.

    

"Unit Forensik Polis akan siasat perkara ini dengan mengambil kira pelbagai sudut sebelum membuat kesimpulan," katanya.

    

Letupan kira-kira 3.30 pagi dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran gas itu menyebabkan empat orang cedera ringan. Ia berlaku di aras bawah yang menempatkan kedai-dekai makan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati beberapa pusat perniagaan dan bangunan pejabat berhampiran turut terkena tempias letupan di Empire Gallery.

    

Antara lain, cermin bangunan pejabat Wisma Consplant yang terletak berhadapan pusat beli-belah itu pecah akibat letupan tersebut.

    

Letupan itu turut memecahkan cermin sebuah bilik yang menempatkan mesin pengeluaran wang.

Pemasangan besi keselamatan sementara untuk menutup sekeliling pusat beli-belah berkenaan dilihat giat dilakukan.

    

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mammoth Empire Holdings Sdn Bhd, Datuk Danny Cheah, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata 180 penyewa kedai di Empire Gallery diarah menutup kedai mereka atas faktor keselamatan.

    

"Di tingkat bawah, 30 kedai rosak teruk dengan anggaran kerugian jutaan ringgit," kata beliau.

    

Pusat beli-belah itu dipenuhi pasukan keselamatan termasuk polis dan bomba selain pihak lain seperti Suruhanjaya Tenaga dan pengurusan bangunan.

Selain meranapkan tingkat bawah, letupan turut menyebabkan kedai pakaian dan restoran di tingkat 1 bangunan itu rosak teruk.

    

Bernama difahamkan 370 penyewa dan penginap sebuah hotel di sebelah Empire Gallery dipindahkan ke hotel berhampiran.

- Bernama