NUBE dakwa kekerasan diguna surai piket, polis nafi
Polis menafikan dakwaan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) bahawa polis menggunakan kekerasan bagi menyuraikan piket di hadapan bangunan Maybank, Mont Kiara, di ibunegara pagi tadi.
Manakala NUBE dalam satu kenyataan mendakwa, kira-kira 50 anggota polis menggunakan kekerasan terhadap anggota NUBE yang ingin mengadakan piket tersebut.
Kesatuan itu mendakwa tindakan tersebut melanggar hak asasi manusia dan kesatuan sekerja.
NUBE menegaskan piket diadakan secara aman dan polis tidak mempunyai sebab untuk menyekat anggota NUBE menyertai piket yang sah di sisi undang-undang.
Bagaimanapun, ketua polis daerah Brickfields ACP Wan Bari Wan Abdul Khalid berkata tuduhan itu tidak berasas kerana polis telah menggunakan cara yang terbaik bagi menyuraikan piket itu.
"Walaupun mereka ada hak untuk mengadakan piket secara aman, tetapi mereka memerlukan permit supaya polis dapat mengawal keadaan dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
"Saya sendiri berbincang dengan wakil mereka dan mereka bersetuju untuk membatalkan piket itu. Namun mereka cuba mengedar risalah, tetapi kita tidak membenarkannya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Wan Bari berkata, NUBE mempertikaikan tentang hak mereka kerana mendakwa kesatuan itu ditubuhkan di bawah Akta Perhubungan Industri 1967 yang membolehkan anggotanya berpiket serta bebas berpersatuan dan bersuara.
"Mereka mempersoalkan hal ini kerana mendakwa NUBE ditubuhkan bagi membela nasib pekerja-pekerja bank, mereka boleh mengadakan piket secara aman sekiranya terdapat sebarang pertikaian atau penindasan daripada pihak atasan," katanya.
Beliau berkata polis berjaya menyuraikan piket yang disertai kira-kira 40 anggota NUBE tanpa sebarang insiden tidak diingini.
"Peserta piket bersurai selepas berbincang dengan polis, dan tidak ada sebarang tangkapan dilakukan," katanya.
- Bernama

