Punca muda-mudi Malaysia jadi radikal, pensyarah
Muda-mudi di Malaysia mudah terpengaruh dengan ideologi radikal selepas membaca buku tulisan ketua pergerakan radikal di negara Arab dan Selatan Asia yang diterjemahkan ke bahasa Malaysia dan Inggeris yang bercirikan antikerajaan, kata seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Muda-mudi di Malaysia mudah terpengaruh dengan ideologi radikal selepas membaca buku tulisan ketua pergerakan radikal di negara Arab dan Selatan Asia yang diterjemahkan ke bahasa Malaysia dan Inggeris yang bercirikan antikerajaan, kata seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dr Saodah Abd Rahman, pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan AgamaUIAM berkata ini akibatkan daripada kekurangan bahan bacaan agama tempatan yang mudah difahami oleh masyarakat.
"Buku tulisan Sayyid Qutb, Mawdudi contohnya paling digemari ahli pergerakan Islam. Apabila buku-buku tersebut dijadikan bahan rujukan oleh pelajar, maka semangat pemberontakan boleh disemarakkan," tegasnya dalam rencananya dalam Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, akibat kurang pendedahan kepada persekitaran di negara Arab dan dunia Islam yang lain, muda mudi di negara ini mudah terpengaruh dengan ideologi radikal hasil pemikiran dari negara Islam yang mundur, menyeleweng, dan bercirikan antikerajaan.
Menurutnya, penangkapan 106 ahli dan pemimpin Jemaah Islamiah Malaysia menunjukkan Malaysia juga mempunyai permasalahan yang sama berhubung kait dengan pergerakan radikal.
"Buku tertentu dijadikan bahan perbincangan untuk ahli-ahli pergerakan. Buku yang mempunyai unsur-unsur ideologi radikal adalah buku yang paling digemari. Bahan bacaan tersebut boleh membangkitkan semangat revolusi di kalangan muda mudi," tambahnya..
Oleh itu, beliau menegaskan pentingnya katanya, pentingnya kegiatan radikal dikaji dan difahami oleh keseluruhan masyarakat.
Ideologi radikal
"Punca dan faktor utama yang membabitkan golongan muda dan dewasa terpengaruh dengan ideologi radikal adalah berhubungkait dengan salah faham terhadap ajaran Islam," tambahnya.
Menurut beliau lagi, pemimpin pergerakan terbabit dapat mempengaruhi pemikiran masyarakat mempamerkan ciri-ciri orang yang paling rapat dengan Allah.
Selain itu, katanya, ikatan persaudaraan yang diamalkan oleh mereka juga adalah faktor utama untuk melahirkan ahli kumpulan yang taat dan setia kepada ketua dan pergerakan mereka.
"Konsep hidup yang sederhana dan sikap terbuka kepada tetamu adalah salah satu ciri yang paling terkenal di kalangan mereka. Yang menjadi guru dan pensyarah, rumah mereka sering dikunjungi pelajar.
"Begitu juga dengan mereka yang memiliki jawatan pentadbiran. Hubungan mereka dengan kakitangan bawahan adalah mesra. Ini adalah salah satu ciri dan personaliti ahli-ahli pergerakan Islam sama ada pergerakan sederhana atau militan," tambahnya.
Menurut beliau lagi, ciri-ciri yang dimiliki oleh ahli pergerakan tersebut dalam hubungan persaudaraan sesama mereka menyukarkan pihak berkuasa melumpuhkan kegiatan pergerakan radikal.
Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan memastikan semua kakitangan kerajaan, para pendidik sama ada di sekolah dan institusi pengajian tinggi memahami Islam secara menyeluruh.
"Latihan-latihan kerohanian berlandaskan kepada ilmu wahyu yang sejati perlu diperkukuhkan di setiap jabatan kerajaan dan institusi pendidikan negara. Guru yang mempunyai asas kukuh dalam pengajian Islam perlu dijadikan pembimbing masyarakat dan pelajar dalam kegiatan latihan kerohanian dan kefahaman Islam," tegasnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.