Rais diminta jangan pengaruhi siasatan polis
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) memandang serius dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rais Yatim mengenai kemungkinan laporan polis Pemuda Alternatif (BA) terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu fitnah.
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) memandang serius dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rais Yatim mengenai kemungkinan laporan polis Pemuda Alternatif (BA) terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu fitnah.
Ketuanya, Salauddin Ayob menyifatkannya sebagai satu percubaan oleh Dr Rais untuk mempengaruhi siasatan polis terhadap laporan tersebut.
"Dakwaan Dr Rais itu sama dengan dakwaan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heong yang menganggap laporan polis tersebut sebagai membuang masa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, laporan polis tersebut dibuat berdasarkan kes-kes jenayah, salahguna kuasa, salahlaku, penyelewengan yang berlaku sepanjang 22 tahun, sama ada oleh Dr Mahathir sendiri ataupun anggota kabinetnya.
"Laporan polis itu bukanlah satu fitnah, tetapi bersifat pengaduan kepada pihak berkuasa agar satu siasatan dapat dibuat secara telus dan adil.
Akar umbi
"Polis boleh menentukan sama ada butir-butir yang dikemukakan dalam laporan tersebut betul atau tidak. Para menteri tidak perlu risau sekiranya mereka tidak melakukan jenayah," tambahnya.
Oleh itu, katanya, DPP akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh polis sekiranya satu siasatan yang telus dibuat.
Malah, katanya, Pemuda PAS bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam menyelesaikan siasatan tersebut.
"DPP berharap perlantikan Ketua Polis Negara yang baru akan mengubah profesionalisme polis dengan membuat siasatan terperinci terhadap laporan tersebut.
"Pihak polis juga tidak perlu risau lagi terhadap campurtangan pihak atasan kerana yang disiasat tidak lagi berkuasa," tambahnya.
Oleh itu, beliau berharap pihak polis dapat menyiasat hingga ke akar umbi semua laporan yang dikemukakan agar negara ini akan menjadi lebih adil, telus dan saksama.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.