Memorandum Negara Islam PAS tidak lengkap?
Ada di kalangan pemimpin PAS yang ''ragu-ragu'' sama ada Memorandum Negara Islam yang dijadual diumumkan oleh parti itu Rabu depan, cukup terperinci untuk meyakinkan orang bukan Islam mengenai hak dan kebebasan mereka di bawah system pemerintahan tersebut.
Ada di kalangan pemimpin PAS yang ''ragu-ragu'' sama ada Memorandum Negara Islam yang dijadual diumumkan oleh parti itu Rabu depan, cukup terperinci untuk meyakinkan orang bukan Islam mengenai hak dan kebebasan mereka di bawah system pemerintahan tersebut.
Difahamkan memorandum tersebut gagal menjelaskan isu-isu penting seperti pelaksanaan sistem pentadbiran dua peringkat yang membabitkan orang bukan Islam dan status Perlembagaan Persekutuan.
Memorandum itu sebaliknya lebih tertumpu kepada aspek-aspek keagamaan, yang disokongkan dengan dalil-dalil daripada al-Quran dan Hadis.
Menurut sumber-sumber parti itu, ini telah menimbulkan rasa ''kurang senang' di kalangan pemimpin tertentu PAS yang merasakan pendekatan dan bahasa yang digunakan dalam memorandum tersebut, mungkin sukar difahami oleh orang ramai, terutamanya orang bukan Islam.
"Ianya penuh dengan istilah Bahasa Arab dan ayat-ayat al-Quran. Ia memang baik untuk penyokong kita di kalangan orang Islam, tetapi dapatkah orang bukan Islam memahaminya? Saya rasa mereka sukar memahaminya," kata sumber itu lagi.
"Saya diberitahu yang memorandum tersebut disediakan sepenuhnya oleh Majlis Ulama PAS. Jika itu benar, saya bimbang matlamat utama parti untuk menarik sokongan dari kalangan orang bukan Islam terhadap konsep negara Islam kita, tidak akan berjaya," tambahnya.
Enam bahagian
Berdasarkan salinan memorandum setebal 31 mukasurat itu yang diperolehi oleh malaysiakini, ianya terbahagi enam bahagian utama - Pengenalan, Tasawuur (Pembangunan) Negara Islam, Dasar Utama Pemerintahan Islam, Ciri Utama Negara Islam, Beberapa Polisi Umum, dan Penutup.
Dalam bahagian pengenalannya, memorandum itu sekali lagi menegaskan bahawa dasar politik PAS menghormati kepelbagaian budaya, etika, bangsa dan agama di Malaysia. Ia juga menerangkan makna sebuah negara Islam berdasarkan kepada al-Quran dan Hadis.
Menurut memorandum itu, untuk memastikan pembangunan yang positif, dasar-dasar sesebuah negara Islam mestilah bersandarkan kepada prinsip-prinsip Islam, dan diketuai oleh seorang yang alim serta mengutamakan keamanan.
Ia juga menerangkan bahawa pemerintah bertanggungjawab untuk menjamin kebajikan orang bukan Islam dilindungi dan mereka bebas menganut dan mengamalkan agama pilihan masing-masing.
Sebanyak 12 muka surat diperuntukkan untuk menerangkan dasar utama dalam sebuah negara Islam yang menyentuh konsep aturan undang-undang, khilafah (pemimpin), taqwa (kepercayaan), syura (rundingan), al- adaalah was musaawaah (keadilan dan persamaan), ah-huriyyah (kebebasan) an as-siyaadah wal-haakimiyah (kedaulatan) .
Antara lain, ia juga menerangkan bahawa syura atau perundingan adalah salah satu dasar utama dalam sebuah negara Islam di mana Dewan Rakyat menjadi majlis mesyuarat di mana rakyat dibenarkan menyuarakan pendapat mereka melalui wakil rakyat masing-masing.
Kata putus
Manakala Dewan Negara pula akan bertindak sebagai pembuat kata putus bagi semua perkara yang diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Menurut dokumen itu lagi, penduduk di negara Islam mempunyai hak dan kebebasan untuk bersuara, mengambil bahagian dalam pertubuhan dan parti politik, memiliki harta dan beragama.
Bagaimanapun, menurutnya, kebebasan seperti itu bukan suatu yang mutlak tetapi berpandukan peraturan yang melindungi hak orang lain. Islam tidak mengizinkan hak mutlak kerana ia boleh mengancam dan mengganggu kebebasan orang lain.
Hanya dua muka surat yang diperuntukkan untuk menerangkan ciri-ciri utama sebuah negara Islam, antaranya ketelusan, kesetiaan, kebajikan, Parlimen dan Raja Berperlembagaan.
Sebuah negara Islam, menurut dokumen itu, akan mengukuhkan perbahasan di Parlimen dan amalan Raja Berperlembagaan, dengan berpandukan kepada ajaran Islam.
Empat lagi muka surat menyediakan maklumat ringkas mengenai dasar-dasar umum dalam sebuah negara Islam yang membabitkan aspek ekonomi, sosial, pertahanan, dasar luar, kebudayaan kesihatan, wanita, belia, pelancongan dan kemudahan awam.
Bekas presiden
Bagaimanapun, selain mengulangi janji untuk memperbaiki bidang-bidang berkenaan, memorandum tersebut juga tidak mengutarakan rancangan bertindak bagaimana ianya hendak dilaksanakan.
Sementara itu, menurut satu lagi sumber parti, perkara yang paling ketara tidak disentuh dalam memorandum tersebut ialah rancangan PAS untuk melaksanakan strategi pentadbiran dua peringkat dan isu-isu berhubung status Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, beliau tidak faham mengapa isu-isu tersebut tidak disentuh langsung sedangkan kajian terperinci mengenainya telahpun dijalankan pihak kumpulan pemikir parti berkenaan.
"Semasa hayat Datuk Fadzil Noor (bekas presiden PAS), perbincangan dan penyelidikan dijalankan bagi memastikan kita mengemukakan konsep negara Islam yang bukan sahaja berasaskan kepada prinsip-prisip Islam, tetapi juga yang mengamalkan dasar-dasar demokrasi yang diterima oleh orang bukan Islam. Saya sendiri bertanya-tanya apa yang telah terjadi sejak itu?" kata sumber tersebut.
Adalah dipercayai jawatankuasa pusat PAS akan membincangkan perkara itu dalam mesyuaratnya esok.
"Saya benar-benar berharap agar jawatankuasa pusat mempertimbangkan semula cadangan untuk mengumumkan dokumen ini kepada umum. Saya rasa ianya akan lebih merosakkan daripada membawa kebaikan kepada parti," tambahnya.
Semua ini adalah antara isu ''berduri' untuk PAS yang sedang berusaha untuk meyakinkan rakyat, khususnya bukan Islam mengenai konsep negara Islam yang ingin diwujudkannya di negara ini.
Kepimpinan PAS telahpun memberi
jaminan
yang parti itu tidak bercadang untuk meminda perlembagaan di samping menyangkal dakwaan yang pihaknya merancang menubuuhkan sebuah Negara Islam yang teokratik.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ketika berucap di muktamar parti itu baru-baru ini, telah mengumumkan mengenai strategi dua peringkat yang akan dilaksanakan oleh parti berkenaan.
Berikutan itu, ramai yang percaya butir-butir lanjut mengenainya dijangka dimuatkan dalam memorandum yang bakal diumumkan Rabu ini. Sebaliknya memorandum itu tidak langsung menyentuh perkara itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.